Friday 27 December 2013

Trafik Ke Blog dan Alexa Ranking

Salah satu cara untuk melihat prestasi blog kita adalah dengan melihat pada ranking yang dikeluarkan oleh alexa di www.alexa.com. Semakin rendah nombor yang dikeluarkan semakin baik ranking laman web kita.

Alexa memberi penarafan kepada laman-laman web dengan mengambilkira bilangan trafik yang diperolehi oleh laman web tersebut. Alexa tidak mengambil kira sama ada sesuatu laman web tersebut berkualiti atau tidak kandungannya berbanding Page Rank (PR) yang diberi oleh google.  Asal ada pengunjung mengklik blog kita maka dapatlah trafik ke blog kita dan dikira oleh Alexa. Alexa akan membanding dengan laman web yang lain dan memberi tanda aras atau ranking kepada laman web kita.

Semakin kecil nilai alexa menunjukkan bahawa jumlah pageviews semakin tinggi. Jumlah klik ke blog yang tinggi memungkinkan jumlah pembaca blog juga tinggi. Laman web yang mempunyai ranking yang baik biasanya akan berpotensi memperolehi pendapatan yang lumayan dari hasil pengiklanan. Inilah yang saya belajar.

Ranking diberi untuk peringkat global dan juga tempatan (Malaysia).

Berapakah  Ranking Alexa Untuk Blog Nash Fesyen? 

Untuk hari ini (28/12/13) ranking alexa untuk blog Nash Fesyen adalah 1,431,632 di peringkat global manakala untuk ranking Malaysia pula adalah 14,211. Memang blog ini jauh ketinggalan dari blog popular yang lain.  Nasib baik juga alexa senaraikan juga blog ini. Ada juga yang datang singgah.



Untuk melihat berapa banyak trafik yang blog kita terima kita boleh melihat pada statistik 'page view' pada blogger.com

Kalau melihat pula 'page view' yang dikeluarkan oleh blogger.com, blog ini mempunyai lebih kurang antara 1,500 - 2,000 page view sehari. Statistik yang agak baik untuk blog yang baru berusia 6 bulan.



Bagi saya sendiri yang rank ditunjukkan oleh www.alexa.com dan juga statistik dari blogger.com tidaklah begitu mengecewakan kerana blog ini dibuat bukanlah untuk menjadi popular dan menjana pendapatan melalui pengiklanan.

Blog ini hanya ingin berkongi pengalaman menjahit dan menawar perkhidmatan yang saya sediakan. Income saya adalah dari servis yang saya lakukan.

Kenapa Saya Berkata Begitu?

  • Blog saya baru berusia lebih kurang 6 bulan, Bukan senang untuk bersaing dengan blog yang sudah lama established yang mempunyai ribuan atau jutaan pembaca setiap hari.
  • Blog ini dalam bahasa Melayu. Yang datang hanyalah pembaca yang memahami Bahasa Melayu sahaja.
  • Blog ini lebih fokus kepada menjahit dan fesyen pakaian wanita untuk orang melayu sahaja. Orang lelaki tentu tak ramai datang. Yang datang tentu yang sayang isteri. Begitu juga dengan bangsa lain.
  • Blog ini lebih fokus kepada hobi menjahit dan fesyen wanita. Bukan semua wanita suka menjahit. 

Mendapat 'page view' antara 1,500 - 2,000 sehari bagi saya suatu pencapaian yang baik dengan kapasiti perkhidmatan yang saya sediakan.  Walau bagaimanapun yang patut saya patut berasa bangga kerana kebanyakan trafik yang datang ke blog saya dari carian melalui search engine terutamanya google.

Mengikut alexa carian dari search engineblog Nasah Fesyen menyumbang 38.7% (untuk hari ini) berbanding dari sumber yang lain. Pencapaian yang agak tinggi.


Ini bermakna pengunjung yang datang ke blog ini kebanyakannya adalah pengunjung baru kerana mereka mencari servis yang saya sediakan melalui search engine berbanding yang hanya ingin klik kerana ingin membaca berita panas.

Pengunjung yang mencari melalui search engine yang akan membawa ke blog kita biasanya mendatangkan trafik yang lebih berkualiti yang akhirnya menerima perkhidmatan kita. Blog yang baik bagi saya adalah blog yang boleh meyelesaikan masalah pengunjung. Kualiti trafik adalah lebih baik daripada kuantiti trafik. Inilah matlamat saya bila saya mula membuka blog ini.

Jika pendapatan blog kita bergantung kepada pengiklanan, trafik yang tinggi memang diperlukan. Tidak ada siapa yang berminat untuk mengiklan di blog yang kurang trafik. Walaubagaimana pun keperluan untuk mendapat trafik yang tinggi tidak boleh diabaikan untuk mengembangkan bisnes kita.

Mungkin blog ini tak begitu tinggi trafik dan popular kerana:

  • Saya sendiri terlalu sibuk dengan aktiviti menjahit sehingga tidak ada masa untuk memfokus kepada mendapatkan trafik ke blog.
  • Jarang-jarang update entri blog ini tidak semacam setengah blog yang boleh update sampai 5 kali sehari. Kalau saya buat macam tu alamatnya tak siaplah baju dan tudung yang ditempah  pelanggan.
  • Tak rajin buat blog walking atau memberi komen ke blog lain  dan juga tidak aktif di mana-mana forum dengan alasan seperti di atas. Sibuk. Jadi siapa nak singgah blog kita kalau kita sendiri tak singgah kat blog orang lain.
  • Tak join dengan komuniti blogger yang lain. Ada yang buat kontes, perjumpaan, seminar dan macam-macam lagi tak pernah sekali pun saya join. Macam mana orang nak kenal kita.

Mungkin blog ini boleh mendapat traffik yang tinggi jika diletakkan entri-entri berkaitan:
  • Cerita-cerita artis seperti artis popular, artis kahwin, artis cerai, skandal artis dan lain-lain yang tentunya ramai yang berminat nak tengok.
  • Berita sukan seperti sukan SEA, Piala Dunia, perlawanan bola sepak sepak klub terkenal seperti Manchester United , Liverpool dan lain-lain yang mempunyai jutaan peminat.
  • Cerita pelik-pelik seperti makhluk yang pelik-pelik, cerita hantu, bomoh, cerita ikan lompat masuk kapal, sotong, udang, kerang naik ke darat dan lain-lain yang memang disukai oleh orang melayu.
  • Cerita separuh lucah dengan gambar-gambar tertentu yang sentiasa menjadi carian pengunjung.
  • Link untuk menonton drama melayu terkini atau cerita korea terkini yang menjadi kegilaan ramai malahan boleh didownload ke dalam komputer sendiri.
  • Berita-berita semasa yang boleh copy-paste dari laman web berita seperti cerita politik, banjir, jambatan runtuh, bas terbalik, helikopter terhempas dan sebagainya.
  • Jadual-jadual yang menjadi carian dan rujukan pengunjung yang ingin mengetahui dengan segera sesuatu seperti senarai nama peserta PLKN, jadual gaji kerajaan, keputusan itu dan ini dan sebagainya.
  • Letakkan tajuk-tajuk panas yang memikat yang siapa sahaja pandang akan terus klik.


InsyaAllah saya akan teruskan blog seperti konsep yang sedia ada seperti sekarang. Tidak akan bercampur aduk dengan cerita-cerita seperti di atas.

Sebagaimana yang saya beritahu tadi saya akan lebih fokus kepada perkhidmatan menjahit dan menjual pakaian dan aksesori wanita yang saya sediakan bukannya untuk mendapat keuntungan dari pengiklanan atau yang lain-lain sepertinya.

Setakat ini saya hanya meletak iklan Nuffnang kerana ingin mencuba tetapi hasilnya memang mengecewakan. Kalau berbulan-bulan meletak iklan dengan hanya mendapat beberapa puluh ringgit sahaja tidak ada apa yang dapat dibanggakan. Mungkin saya perlu belajar lebih banyak lagi.
Saya merasakan biarlah trafik yang datang ke blog ini adalah trafik yang berkualiti yang datang kerana minat dengan hobi menjahit,  ingin belajar sesuatu atau ingin mendapat servis yang saya sediakan. Biarlah pengunjung yang datang mendapat sesuatu dari blog ini daripada datang sekali sahaja kemudian tidak datang-datang lagi. 

“It should feel genuinely good to earn income from your blog – you should be driven by a healthy ambition to succeed. If your blog provides genuine value, you fully deserve to earn income from it.” 

Steve Pavlina

Thursday 26 December 2013

Tudung Syria 3 Layer Labuh





Tudung Syria 3 layer ditempah dengan kaler pilihan sendiri dan bersaiz labuh. Material pula dalah dari kain chiffon berkualiti tinggi dan tidak jarang. Tempahan dibuat melalui email dengan menyatakan kaler yang dikehendaki. Apabila persetujuan dicapai, kain dicari dan akhirnya 2 helai tudung syria 3 layer labuh siap dijahit. 

Tak perlu pos, saya akan datang ambil sendiri. Saya tinggal di Kajang. Nanti saya datang.

Akhirnya hari ini pelanggan saya datang di rumah dan urusan selesai. Alhamdulillah saya sangat berpuashati, nanti saya promosi kat kawan-kawan saya pula. 

Tudung Chiffon 3 Layer








Selain tudung labuh berdagu dan tudung syria yang sering mendapat tempahan, tudung 3 layer tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri. Pemilihan kaler sama ada dengan satu kaler atau pelbagai kaler supaya matching dengan warna pakaian yang dipakai menyebabkan pelanggan sentiasa memilih untuk membuat tempahan berbanding dengan membelinya di kedai. 

Jika mendapatkannya di kedai dilema yang dihadapi adalah warna yang dikehendaki sentiasa tidak serasi dengan baju pula Pemilihan sama ada inginkan yang labuh atau singkat juga sukar dicari berbanding jika ditempah.

Tempahan kali ini adalah dengan pilihan kain berwarna putih, hitam, warna skin dan pink. Material pula adalah dari chiffon georgette yang selesa dipakai dan tidak jarang. Awning juga dari kain yang sama. Kelihatan sopan dan meyakinkan apabila dipakai dan sungguh mempersonakan. Sesuai digayakan di mana-mana sahaja terutamanya untuk dipakai di pejabat atau untuk pergi ke majlis keraian.

Walaupun pelbagai fesyen wujud di pasaran, tudung chiffon 3 layer sentiasa mendapat sambutan kerana ianya ringkas, sederhana dan selesa dipakai. Tudung ini akan sentiasa kekal dan mendapat perhatian. Yang berubah hanyalah warna dan corak. Oleh sebab itulah membuat pilihan sendiri untuk warna dan corak sentiasa menjadi pilihan supaya sesuai dengan trend semasa.

Wednesday 25 December 2013

Cara Nak Rapatkan Jahit Tepi Halus Supaya Tak Jarang

Kebiasaannya mesin jahit tepi halus adalah menggunakan 3 benang. Ada kalanya didapati kemasan ada shawl atau tudung kelihatan jarang dan tak menarik. Kali ini saya akan tunjukkan cara yang saya gunakan untuk mendapat kemasan jahit tepi halus pada kain supaya lebih rapat dan tak nampak jarang.

Ini adalah contoh 3 benang pada mesin jahit tepi halus.



Contoh jahit tepi halus pada shawl kelihatan sedikit jarang. Walaupun sudah kemas tetapi ada pelanggan yang nak lebih rapat lagi. Klik gambar untuk lihat lebih jelas.


Berikut adalah setting benang pada mesin untuk 4 benang.


Tambahan benang dimasukkan pada tombol yang di tengah.


Ini adalah hasil jahitan setelah menggunakan 4 benang. Bandingkan dengan jahitan dengan 3 benang seperti di atas. Kemasan jahit tepi halus lebih rapat dan tidak jarang. Klik gambar untuk lihat lebih jelas.


 SELAMAT MENCUBA

Monday 23 December 2013

Fesyen Tudung Lycra Untuk Majlis Perkahwinan

tudung lycra untuk sekeluarga

tudung lycra pandangan tepi

tudung lycra pandangan depan

Tempahan 10 Helai Tudung Lycra Untuk Menghadiri Majlis Perkahwinan

Bila tiba musim cuti sekolah, majlis kenduri kahwin tidak dapat dielakkan. Perancangan untuk mengadakan majlis ini sudah tentu dibincang berbualan-bulan lamanya. Dari jemputan, penyediaan majlis, pembelian kelengkapan perkahwinan dan jamuan sehinggalah persiapan untuk pengantin. Keluarga terdekat tidak kurang hebat untuk sama-sama meraikannya.

Tambahan pula jika merupakan majlis perkahwinan anak pertama atau untuk anak terakhir perlulah disambut dengan penuh meriah.

Bila tiba hari kenduri mesti ada sesuatu yang istimewa perlu dipamerkan oleh ahli keluarga. Maklum sahajalah keluarga dari dekat dan jauh akan datang. Perkara yang pertama perlu difikirkan adalah penampilan diri dalam keluarga. Mesti sesuatu yang unik. Barulah nampak bermakna dan menambahkan lagi seri majlis tersebut.

Ada yang menempah khas baju untuk dipakai pada hari tersebut. Daripada anak-anak sehinggalah yang dewasa. Berpakaian sedondon, serupa, sama warna dan corak menjadi pilihan.  Akhirnya keputusan dibuat biarlah kali ini daripada baju hinggalah fesyen tudung biarlah sama dan sedondon.

Dengan berpakaian serupa dan senada tentunya menambah lagi keceriaan dan menyerlahkan keserasian dalam keluarga yang sehati dan sejiwa. Sudah tentu nampak cantik bila bersama-sama dan akan menarik perhatian tetamu yang hadir. 

Apabila berkumpul beramai-ramai banyaklah cerita akan dikongsi bersama, pelbagai ragam dapat disaksikan. maklum sahajalah saudara mara yang jauh dan dekat dapat berkumpul. Inilah masanya perlu menonjolkan diri dan memperkenalkan keluarga kepada tetamu yang datang.

Tetamu dan saudara mara yang datang tentu akan tertanya-tertanya tentang ahli keluarga kita yang mudah dikenali kerana berpakaian sedondon pada hari tersebut. Soalan-soalan bertanya khabar akan muncul untuk mengenali keluarga kita dengan lebih dekat.

Ini siapa? Anak ini dah besar panjang rupanya. Yang ini kerja kat mana? Yang ini comel ler. Dah ada yang empunya? Kita tentu akan menjawab balik. Oooh yang ini dah ada anak satu, kahwin dengan doktor. Tentu meriah dan ceria sekali majlis ketika itu. 

Biarlah fesyen kali ini akan menjadi sejarah dalam keluarga kita dan diingati oleh anak-anak bila mereka besar nanti.

Kebiasaanya hanya baju sahaja yang dipilih untuk dipakai sedondon untuk majlis-majlis sebegini tetapi kali ini tempahan khas dari pelanggan saya adalah tudung fesyen lycra berkeronsang untuk dipakai pada majlis kenduri nanti. Jumlah kesemuanya adalah 10 helai, 6 helai untuk dewasa dan 4 helai untuk kanak-kanak seperti gambar di atas. 

Jenuh juga untuk disiapkan kerana pelanggan minta hantar sebelum cuti krismas. Alhamdulillah sudah siap dan sudah pun dikurier pada hari ini. Kali ini suami tidak bolehlah tumpang yer.

Sunday 22 December 2013

Berjalan-Jalan Di KLCC

Rancangan asal ke Kuala Lumpur hari ini adalah untuk membeli kasut dan beg sekolah anak-anak sambil berjalan-jalan di KL. Saya memang berjanji dengan anak-anak pada cuti sekolah nanti nak bawa berjalan-jalan di KL.

Oleh kerana terlalu sibuk terpaksa ditangguhkan dahulu. Mana tak sibuk setiap minggu hari sabtu ada sahaja kelas menjahit tudung termasuklah pada hari cuti Krismas dan hari sabtu minggu depan. Hari ahad pula ramai yang nak datang ke rumah disamping banyak baju tempahan yang belum siap dijahit. Begitu itu juga banyak tempahan baju sekolah dan tudung belum siap lagi. Perlu disiapkan  sebelum sekolah buka semula. Memang tak ada masa.

Oleh kerana sudah berjanji dengan anak-anak terpaksalah pilih hari ini. Itu pun sebelah petang sahaja. Kalau petang ini tak pergi juga KL memang dah tak ada hari lain lagi. Cuti sekolah dah nak habis.

Oleh itu plan pagi  untuk siapkan gunting beberapa helai baju kurung dan baju sekolah. Semua nak urgent. Minggu depan nak datang ambil. . Masa semakin suntuk. Akhirnya pagi ini siap juga  potong 7 pasang baju. termasuk baju sekolah anak-anak.

Keluar dari rumah agak lewat lebih kurang pukul 3.00 pm. Sampai sahaja di tol Sungai Besi, ada panggilan telefon pelanggan nak datang ke rumah. Katanya dia dah 'on the way' ke rumah. Macam mana nak buat ni, mana boleh patah balik. Terpaksalah beritahu suruh datang malam nanti. OK, nanti malam saya datang. Lega rasanya.

Siap membeli beg dan kasut sekolah, masa masih awal. Anak-anak ajak berjalan-jalan dahulu di Dataran Merdeka. Baru sahaja nak menjejak kaki ke Dataran Merdeka hujan pula turun. Dapat sekejap sahaja singgah di Dataran Merdeka. Sempat ambil beberapa keping gambar.

Terus sahaja masuk ker kereta dan buat keputusan untuk pergi ke KLCC. Sampai di KLCC masa dah agak lewat.Lebih kurang pukul 6.15 pm. Saya sendiri sudah lama tidak menjejak kaki ke KLCC. Sejak berpindah ke Bangi tidak pernah sekali pun membawa anak-anak berjalan KLCC. Kali ini sampai juga.

Jiran pula ada bercerita tentang tempat menarik, Aquaria yang mesti dilawati apabila pergi ke KLCC.  Mesti melawat kalau tidak rugi. Anak-anak juga pernah dengar dari kawan-kawan tentang Aquaria ini. Masing-masing berminat untuk ke Aquaria KLCC.

Sampai sahaja di Aquaria masa sudah menunjuk ke pukul 6.45 pm. Masih sempat lagi. Aquaria tutup pukul 8.00 pm. Terus sahaja ke kuanter tiket. Pengunjung sudah tidak begitu ramai. Mungkain dah petang. Jadi sempatlah bawa anak-anak melihat hidupan laut di Aquaria.

Ikan yang besar di Aquaria adalah ikan pari, ikan jerung dan beberapa ekor ikan yang lain, berenang-renang di atas kepala. Memang jelas nampak. Masing-masing seronok. Sempat juga merakam beberapa keping gambar tetapi gambar tidak beberapa cantik kerana peraturan Aquaria tidak membenarkan mengambil gambar mengguna flash.

Habis melawat Aquaria, solat dan bejalan-jalan di Taman KLCC sambil menikmati keindahan malam di KLCC yang penuh bercahaya. Puas bejalan-jalan di taman, lepak pula di tepi tasik air pancut berirama. Agak lama juga di situ sehingga anak-anak mula bosan dan mengajak pulang kerana lapar.

Sampai di Bangi jam sudah menunjukkan pukul 9.30 pm. Anak-anak sudah merungut lapar. Singgah di seksyen 8 untuk menikmati makan malam. Semasa sedang makan ada message masuk. Pelanggan yang nak datang malam nanti tak jadi datang. Katanya tak ada kereta. Besok sahaja saya datang.

Oklah jumpa besok.









Saturday 21 December 2013

Selembut Kain Sutera


Apabila menerima tempahan menjahit baju kurung  sutera tergerak pula hati ini untuk  menulis satu artikel berkaitan dengan sutera  untuk dikongsi dengan pembaca blog ini.

Artikel ini agak panjang kerana sutera itu sendiri mempunyai sejarah yang  panjang  yang wujud beribu-ribu tahun dahulu dan menjadi kemegahan setiap tamadun yang memilikinya.

Pada mulanya saya ingin memecahkan artikel ini menjadi beberapa entri tetapi bila sudah mula menaip dirasakan pula biarlah artikel ini tidak bersambung-sambung untuk mendapat kenikmatan membacanya. Harap bersabar membacanya.

Sutera adalah satu fiber atau gentian yang kuat, lembut serta halus hasil dari cecair protein yang dikeluarkan dari mulut ulat sutera yang kemudiannya ditenun menjadik fabrik yang lembut digunakan untuk membuat pakaian wanita seperti baju kurung, blouse, kemeja dan lain-lain. Juga digunakan untuk membuat tudung, tali leher, langsir, tudung kusyen dan pelbagai lagi.

Ada sutera asli dan juga  campuran seperti didapati  dalam fabrik seperti satin, chiffon, georgette, shantung, crepe  de chine, broked, jacquard dan lain-lain.

Sutera melambangkan kemewahan pemakainya dari dahulu hingga sekarang . Sutera juga seringkali dikait dengan kelembutan dan banyak disyair dan dilagukan sebagai lambang kesetiaan dan pengorbanan dalam percintaan.

Sutera merupakan barang dagangan utama antara timur dan barat apabila China membuka jalur perdangangan yang menghubungkan antara  China, Tibet, India , parsi dan Negara di sekitar Menditerranean hampir 3000 tahun sejak dari Dinasti Han berkuasa (206-220M)  yang dikenali sebagai Laluan Sutera. Laluan Sutera mendapat  nama kerana pada masa itu sutera merupakan bahan dagangan utama.  Keluaran sutera China menjadi barangan mewah dan dieskport sehingga ke Eropah dan Negara-negara Timur. Pada masa itu tidak ada Negara lain yang mengetahui rahsia bagaimana sutera dihasil di China. China cukup ketat mengawal rahsia sutera mereka.

Walaubagaimanapun rahsia sutera China pecah juga apabila imigran-imigran China yang melarikan diri dari pemerintah yang zalim ke negara-negara seperti Korea dan Jepun dan usaha-usaha negara luar menghantar pengintip-pengintip ke negara China untuk mendapat rahsia pengeluaran sutera. Dari situ teknik penghasilan sutera tersebar ke Korea, Jepun, India,  Asia Tenggara dan Eropah seperti di  Itali dan Perancis.
Teknik pengeluaran sutera  tersebar ke Eropah Barat selepas Perang Salib dan pada masa itu banyak peralatan tenun yang canggih mula dicipta untuk menenun sutera.

Bagaimana Sutera Dihasilkan.

Penternakan ulat sutera untuk menghasilkan sutera dikenali sebagai sericulture yang mula dipelopori oleh negara China. Sutera diperolehi dari kepompong ulat sutera yang dihasilkan oleh kupu-kupu Bombyx Mori. Kitaran hidup ulat sutera bermula dari kupu-kupu Bombyx Mori yang menghasikan telur  di atas daun mulberi yang menjadi sumber utama makanan ulat sutera. Dalam jangkamasa tiga hingga tujuh hari, telur kupu-kupu akan menetas menjadi larva dan larva ini akan memakan daun mulberi.  Larva akan bersalin kulit sebanyak empat kali dan berat akan bertambah sepuluh ribu kali ganda.

Terdapat dua pasang kelenjar pada mulut larva yang  dikenali sebagai spirinet. Sepasang kelenjar akan  mengeluar cecair protein dikenali sebagai fibroin  manakala  sepasang kelenjar lagi akan mengeluar cecair protein yang dikenali sebagai serisin. Cecair protein  ini akan menjadi kering apabila terdedah kepada udara dan membentuk filamen yang halus.

Cecair dari air liur urat sutera ini  terdiri dari dua jenis bahan protein haiwan iaitu fibroin. Fibroin merupakan sumber utama  bahan sutera meliputi 75% sutera. Bahan protein yang kedua dikenali sebagi serisin iaitu bahagian luar fiber sutera yang meliputi 25% sutera.

Fungsi serisin adalah seperti  gam yang melekatkan  filamen sutera antara satu dengan  lain.
Larva melilit filament tubuhnya  sehingga terbentuk sarang kepompong atau kokon.  Dalam proses mendapatkan benang sutera,  sarang kepompong atau kokon akan direndam di dalam air panas supaya serisin yang bertindak sebagai gam dapat diuraikan yang tinggal kebanyakannya adalah fiber-fiber fibroin. Filamen yang sudah terurai ditarik dan digulung pada bobbin atau gelendung. Filamen ini dikenali sebagai sutera mentah yang kemudinnya dipintal menjadi benang (yarn) dan digunakan untuk menenun fabrik sutera.
Sutera mentah mempunyai komposisi fibroin  iaitu fiber sutera (76%), serisin sebagai perekat (22%, lilin (1.5%) dan garam-garam mineral (0.5%)

Dalam industri penternakan  sutera, kupu-kupu Bombyx Mori dipelihara dengan memberi makan daun mulberi. Sutera dihasilkan dengan cara penternakan ulat sutera dengan memberikan makan daun mulberi dikenali sebagai sutera ternak, sutera juga diperolehi dari kupu-kupu liar dari hutan yang dikenali sebagai sutera liar.

Sutera liar dikenali sebagai Sutera Tussah.  Sutera ternak berbeza dengan sutera liar (Tussah Silk) di mana kebanyakan sutera liar memakan daun-daun pokok oak. Sutera ternak lebuh halus berwarna hampir  putih dan mempunyai filamentyang lembut. Sutera liar pula adalah lebih kasar tidak sekata dan keperang-perangan. Tidak putih seperti filamen sutera ternak.

Sutra liar berbeza dari sutra ternak dari segi warna dan tekstur kerana biasanya  kepompong liar yang dikumpul sudah dirosak oleh pupa  yang keluar dari kepompong sebelum kepompong tersebut diambil sehingga menyebabkan benang sutra mentah yang membentuk kepompong itu sudah terputus menjadi pendek.

Sifat-Sifat Sutera

  • Sutera  mempunyai rupa yang berkilau kerana di dalama fiber atau gentian sutera terdapat sruktur seperti prisma segitiga yang menyebabkan kain sutera membias cahaya.
  • Teksturnya halus dan lembut. Kain sutera juga ringan dan filamen sutera juga cukup kuat dan teguh. Cukup selesa dipakai.
  • Mempunyai fungsi menjaga kesihatan kerana sifatnya yang lembut memberikan pemakainya suatu perasaan yang menyegarkan.
  • Penyerap bunyi, habuk dan juga cahaya yang panas. Pengalir haba yang baik.
  • Anti radiasi ultra-violet.
  • Teguh semasa kering tetapi berkurangan semasa basah. Kelembapannya boleh menurun sehingga 20% apabila basah.
  • Berbunyi bergemerisik bila bergesel dengan kain lain.
  • Sutera dapat menyerap kelembapan dengan baik. Boleh menyerap sehingga 20% lembapan. Ini menjadikan kain sutera sejuk dan sedap dipakai.
  • Sutera juga meghasilkan cas elekstostatik yang tinggi bila bergesel dengan kulit atau kain yang lain dan akan menyebabkan kotoran, habuk dan sebagainya mudah ditarik dan melekat pada kain.
  • Sutera juga mudah kusut tetapi mudah dilicin kembali dengan seterika.
  • Sutera juga amat sensitif dengan suhu yang tinggi dan apabila diseterika dengan setting yang panas, ia akan berubah warna menjadi kekuning-kuningan. Untuk mengelak seterika yang panas, kain sutera boleh dilapik dengan pelapik kain yang sesuai seperti kain kapas.
  • Sinaran matahari yang terang juga boleh mengubah warna sutera menjadi kekuning-kuningan dan kekuatan sutera juga boleh menjadi lemah di bawah terik sinar matahari.
  • Sutera juga mudah diserang oleh serangga bila disimpan lama tanpa perlindungan  ubat anti serangga.
  • Sutera bila dibakar berbau seperti rambut terbakar.
  • Tidak bersifat elastik seperti fabrik sintetik.
  • Mudah dirosak oleh asid dan alkali.

Cara Menjaga Kain Sutera

  • Tidak sesuai dibasuh dengan mesin basuh. Ssebaiknya dicuci dengan ‘dry cleaner’ supaya fibernya tidak rosak.
  • Jika mahu mencuci sendiri gunakan sabut lembut seperti shampoo atau sabun mandi. Jangan mengguna berus kerana berus boleh merosakkan urat benang sutera. Elakkan mengguna detergent.
  • Tambah air suam secukupnya supaya pelapis atau coating pada sutera bersinar kembali kemudian masukkan kain sutera ke dalamnya. Rendam selama lima minit tanpa dikocak airnya. Jika ada kotoran yang susah dihilang percik sedikit cuka dan kotoran tersebut dengan jari sehingga hilang.  Jangan guna agen peluntur.
  • Fabrik sutera tidak boleh direndam dalam air yang terlalu panas kerana ia kan mengkerintingkan sutera.
  • Basuh  fabrik sutera dengan kaedah meramas, menguli dengan lembut.
  • Selepas membasuh, bilas kain sutera samada menggunakan air yang sedikit berasid mahupun sedikit beralkali. pH yang terbaik adalah sekitar 6 - 8 pH. pH air yang betul dapat memastikan sutera  menjadi lembut dan bersinar.
  • Sutera boleh diremdalam dalam air yang mempunyai pH yang sesuai . Oleh kerana cuka dan limau adalah contoh-contoh sumber asid dan garam pula bersifat alkali maka bolehlah digunakan ke tiga-tiga bahan ini untuk mengubah pH air bilasan.  Dua camca besar garam dicampur dengan dua camca cuka yang dicampur dengan satu gelen air.  Bilas dengan air suam sebanyak dua kali.
  • Elakkan daripada memerah fabrik sutera anda kerana ia akan memintal dan merosakkan aluran urat benang. Jika fabrik sutera anda perlu dikeringkan dengan cepat, masukkan ia di dalam gulungan kain tuala,tekan atau ramas untuk mengeringnya.
  • Sidai di tempat yang redup dan berangin untuk mengelak terkena panas terik matahari.
  • Semasa menyidai guna penyangkut baju untuk menggantung bajudan kain sutera.
  • Terbalikan kain supaya bahagian dalam berada di luar semasa menjemur.
  • Hindari dari menjemur secara langsung di bawah sinar matahari kerana matahari boleh meninggalkan kesan kekuning-kuningan pada kain.
  • Elak menggosok pada suhu yang tinggi semasa menseterika. Gosok dengan suhu sederhana. Boleh setting pada ‘silk’ pada seterika.
  • Untuk meneglak kerosakan pada sutera sepasa menseterika boleh gunakan alas atau pelapik seperti alas kain kapas.
  • Ada petua yang menyatakan pakain sutera boleh disimpan dahulu dalam peti sejuk dahulu beberapa jam untuk memudahkan mensterika kain sutera.
  • Simpan kain sutera di tempat yang kering. Jika perlu boleh bungkus dengan kain kapas.
  • Tidak boleh bersentuh dengan alkohol seperti minyak wangi kerana sifat sutera sebagai protein.


BAGAIMANA MENEGENALPASTI SUTERA YANG ASLI

Dengan Cara Memegang, Memakai dan Pemerhatian.

Dengan memerhati  kepanjangan dan keragaman pada sutera  kerana fiber sutera sangat nipis dan panjang. Fabrik sutera juga lembut, cerah dan bersinar. Sutera asli apabila dipakai terasa suatu perasaan yang menyegarkan kerana sutera asli mempunyai biokompatibiliti yang baik kerana ia terdiri dari protein  yang mengandungi 18 jenis asid amino.

Menarik Sutera  Melalui Cincin.

Sutera asli  yang mempunyai lapisan yang lebih rendah dan ianya lebih mudah ditarik melalui cincin kerana lapisan yang rendah  lebih licin, lembut dan fleksibel berbanding sutera campuran. Ujian ini tidak sesuai untuk semua jenis sutera kerana ada sutera yang lebih tinggi lapisannya dan lebih berat. Fiber sintetik lebih susah ditarik melalui cincin.

Ujian Pembakaran Fabrik Sutera.

Ujian inilah yang paling popular dalam dengan membakar fabrik sutera. Sutera terbakar secara perlahan dengan kesan api tidak menyala dan mempunyai bau seperti rambut terbakar kerana sifat proteinnya. Hasil pembakaran  meninggalkan habuk seperti manik hitam yang mudah dihancurkan menjadi debu.

Ujian Bahan Kimia.

Sutera dibuat dari bahan protin. Ujian kimia boleh membeza antara bahan protein dan bahan sintetik. Larutan CuSo4 diperlukan dengan mencampur dengan NaOH dan air. Sutera akan larut jika dimasuk kedalam larutan tersebut.

JENIS-JENIS SUTERA

Sutera tersedia dalam bermacam-macam tekstil. Ada yang asli berasal 100% dari sumber alam semulajadi iaitu ulat sutera dan ada sutera campuran ( tidak 100% sutera) mempunyai campuran bahan lain. Biasanya campuran lainnya adalah viscose, polyester dan fiber sintetik.  Antara fabrik yang mengandungi campuran sutera adalah brocade, chiffon, damask, georgette, jacquard, kente, organza, pongee, satin, shantung, tafetta, tulle dan velvet.

Thrown Silk
Diperbuat dari fiber filamen yang panjang. Merupakan sutera yang paling mahal. Antara nya terdapat pada satin, chiffon, taffeta, georgette dan digunakan untuk membuat tudung, selendang, blouse, baju kurung, gaun dan lain-lain. Sifatnya lembut beralun, licin dan bersinar. Sangat selesa dipakai.

Spun Silk
Diperbuat dari filamen yang lebih pendek dan harganya lebih murah.  Juga dibuat dari sutera liar seperti pada kain shantung. Lebih banyak kandungan sericin berbanding thrown silk. Antaranya adalah fabrik shantung, baldu dan lain-lain. Biaa digunakan untuk membuat tali leher, langsir, kusyen, selendang , tudung dan lain-lain.

Noil Silk
Diperbuat dari fiber filamen yang bercampur dengan pelbagai fiber yang lain. Diguna untuk membuat pakaian sukan, kain untuk kegunaan di dapur dan lain-lain.

Jenis Sutera Yang Popular

Thai Silk 
Thai Silk adalah sutera yang sangat berat dan dihasilkan dari ulat  sutera mulberi (Bombyx mori). Lebih kekuning-kuningan, filamennya lebih kasar dan mempunyai lebih gam sutera atau serisin (Sehingga 38%) berbanding dengan sutera mulberi yang normal (20-25%).

Thai Silk biasanya dikeluarkan untuk kegunaan industri domestik di Bahagian Timur-Barat Thailand. Ciri-ciri ini menyebabkan mempunyai kaedah tersendiri untuk menenun. TPada masa sekarang Thai Silk yang popular adalah untuk kraftangan dan tali leher. Di Malaysia Thai Silk banyak dijual di kedai-kedai textile dan menjadi pilihan untuk membuat tudung terutamanya awning tudung.

Shantung Silk
Berasal dari Shantung iaitu satu kawsan di China. Dibuat dari sutera liar dengan filamen yang lebih pendek. Shantung silk juga nampak berkilau. Lebih tebal dan berat kerana kurang sericin dikeluarkan  semasa proses pemintalan benang sutera mentah.

Dapat memegang warna dengan baik semasa proses dye dan mempunyai pilihan pelbagai jenis warna. Sesuai dibuat seluar, jaket, dress, vest dan skirt. Shantung silk telah dieksport sejak beratus tahun dahulu lagi.

Sutera Crepe
Crepe atau crape adalah pengkelasan umum untuk fabrik dengan karakteristik permukannya yang  bergerutu halus, berkedut dan berlipat-lipat  Fabrik ini dibuat daripada  sutera, rayon, acetate, cotton, wool dan juga fiber sintetik. Mempunyai kenipisan yang pelbagai dan juga dikenali sebagai "Crêpe de Chine" .  Mempunyai permukaan yang sedikit berkedut hasil dari tenunan benang yang berpintal (twisted).

Terdapat dua variati crepe atau crepe lembut  (juga disebut sebagai  Canton atau Oriental crêpe) dan juga crepe keras. Crepe Keras (Hard Crepe) juga mempunyai beberapa variati seperti satu lapis, dua lapis, tiga lapis dan empat lapis..  Kainnya lembut, nipis dan tak jarang sesuai untuk membuat tudung, selendang, dress dan blouse. Crepe berasal dari perkataan Perancis bermaksud pancake yang nipis.

Sutera Jacquard
Mengambil sempena nama pencipta mesin tenun Jacquard iaitu Joseph Marie Jacquard (1752–1834). Mempunyai corak yang pelbagai seperti corak berbunga dan corak paisley pada tekstur kain.

Tenunannya menghasilkan kesan cerah dan gelap pada fabrik. Kebiasaannya lebih berat dan tumpat. Kain juga lembut beralun, licin dan bersinar.

Sutera Charmeuse
Fabrik sutera tradisional dengan permukaan belakang fabrik rata seperti crepe dan permukaan hadapan berkilau seperti satin. Sesuai untuk tudung, selendang, blouse dan pakaian dalam wanita.

Sutera Duoppini
Juga dikenali sebagi sutera dupion. Dihasilkan dari 2 jenis benang kepompong sutera yang berlainan yang diletak bersebelahan. Tenunan lebih kasar dan tidak seragam. Mudah untuk proses dye dan mudah dijahit. Mempunyai  sifat reversible di mana kedua-dua belah permukaan boleh digunakan.

LARANGAN PEMAKAIAN SUTERA  KEPADA LELAKI DALAM ISLAM

Banyak hadis nabi yang melarang lelaki memakai sutera.  Tidak perlu saya senaraikan di sini. Boleh google sendiri melalui internet.

Juga penjelasan Ustaz Azhar Idrus seperti di You Tube.
http://www.youtube.com/watch?v=qJHR9sbSECI

Sutera juga  disebut di dalam al quran sebagai pakaian syurga.

SEJARAH DAN LEGENDA KEHEBATAN SUTERA

•      Mengikut legenda China  sutera mula ditemui oleh Xi-Ling-Shi  (atau Si-Ling-Chi) isteri Maharaja Hoang Ti ( yang dikenali sebagai Yellow Emperor).  Pada suatu petang  Xi-Ling-Shi sedang bersiar-siar di taman. Oleh kerana tidak tahan dengan terik matahari, putri Xi-Ling-Shi berhenti berteduh di bawah pokok mulberi, sambil minum secawan teh.

Tiba-tiba  kepompong ulat sutera  ter jatuh kedalam cawan tehnya. Teh yang panas melembut dan menguraikan kepompong tadi sehinggalah  fiber yang halus mula mengurai .  Xi-Ling-Shi memerhatinya dengan penuh minat dan memintal filamen  sutera yang dihasilkan oleh kepompong tadi dengan jarinya.

Kemudian ia menyuruh dayang-dayangnya mengumpulkan lebih banyak kepompong untuk diternakkan dan ditenun.

Atas jasanya menemukan ulat sutra dan teknik  membuat sutra, Putri Xi Ling Shi diberi gelaran “Dewi Ulat Sutera” atau  “Goddess of Silkworms” Setiap bulan tertentu sewaktu penetasan ulat sutera, penduduk China menyambutnya dengan perayaan yang dikenali sebagai “silkworm festival”.

Dalam festival ini permaisuri  China sendiri akan pergi ke tapak-tapak  pemeliharaan ulat sutera, menyedia  daun mulberi dan memberi makan ulat sutera dengan cara membawa raga yang mengadungi ulat sutera yang muda.
Semasa penutupan perayaan tersebut permaisuri akan memberi hadiah kepompong sutera kepada rakyatnya sebagai galakan untuk memelihara  ulat sutera .

Selepas menemui pengetahuan ini. China menyimpan rahsia ini dan memonopoli industry sutera hampir 4000 tahun.  Sesiapa yang memecah rahsia ini atau cuba menyeludup telur kepompong atau ulat sutera akan dihukum mati.  China Berjaya menyimpan rahsia tersebut sehingga 3000 tahun lamanya.

Sebelum pembuatan pakaian dengan sutera, sutera juga telah digunakan dalam pembuatan alat muzik. Benang sutera diregangkan  dan disusun yang menghasilkan tone bunyi yang merdu. Fiber sutra juga dipakai untuk bahan membuat  tali pancing, tali busur panah dan juga sebagai bahan kertas.


Sutera menjadi bahan yang amat bernilai dan menjadi hadiah paling utama kepada sesiapa yang berjasa kepada Negara oleh setiap kerajaan di China pada masa dahulu. Pahlawan dan cendekiawan yang berjasa kepada Negara sering dianugerah dengan pakaian sutera yang mahal.

Dikisahkan apabile Liu Bei berjaya memujuk Zhuge Liang menjadi penasihat kepada Negara Shu selepas tiga kali gagal berjumpa dengan Zhuge Liang , Liu Bei berasa  sangat gembira dan menganugerahkan  Zhuge Liang  antaranya dengan persalinan sutera yang mahal sebagai meghormati kesudian Zhuge Liang menjadi penasihat kepada Negara Shu untuk menghadapi peperangan dari Cao-Cao dari Negara Wei dan Sun Quan dari Negara Wu di mana pada masa itu Empayar Han berpecah kepada tiga negara.


Dalam satu cerita klasik Odyssey yang terkenal karangan Homer, Penelope isteri kepada Oddysey  pernah menggambarkan bahawa pakaian suaminya bersinar seperti kulit bawang yang kering yang merujuk kepada fabrik  sutera yang mahal.


Percintaan Putera Raja Khotan (Sekarang-Hetian) dengan puteri Negara  China yang berlaku  pada tahun 440 M telah membocorkan buat kali pertama rahsia sutera yang disimpan  erat sebelum  ini kepada Negara luar.

Puteri China itu telah menyeludup telur ulat sutera dan benih pokok mulberi dengan menyembunyinya di dalam rambut dengan ditutupi oleh topi yang dipakai oleh puteri raja tersebut.  Semasa melalui pintu gerbang kota, pengawal telah memeriksa seluruh tubuhnya tetapi pengawal  tidak berani menyentuh rambut puteri tadi dan akhirnya berjaya membawa keluar dari negara China ke Khotan. Rahsia sutera akhirnya bocor kepada negara luar.


Pengetahuan tentang sutera yang terawal di bawa ke Eropah adalah melalui Alexander The Great (356 -323M) apabila pulang dari India. Walaubagaimanapun pengetahuan itu tidak kekal lama hilang begitu sahaja.


Aristotle pernah memberi huraian tentang  ulat sutera seperti ulat bertanduk yang dipanggilnya sebagai Bombyx. Mengikut Aristotle Kepulauan Cos adalah tempat yang subur dengan pengeluaran sutera.


Pada 552M Maharaja Justinian dari kerajaan Rom telah menghantar 2 orang mubaligh ke China untuk menyeludup telur sutera  dan benih pokok mulberi dengan dengan risiko yang tinggi yang boleh mengancam nyawa mereka sendiri.

Mereka menyembunyi telur ulat sutera dan benih pokok mulberi dalam potongan buluh. Ketibaan telur sutera ke Byzantium menyebabkan monopoli China berakhir.Byzantium menjadi tempat pembuatan sutera dan bisnes sutera berkembang dengan pesat. Sejak itu, teknologi penternakan ulat sutera dipopularkan di Rom


Semasa kekuasaan kerajaan Rom, sutera dianggap setanding dengan emas dan dipakai oleh golongan bangsawan. Para pedagang Rom mengembara sehingga ke China untuk mendapatkan sutera.

Pemerintah Rom pernah melarang menjual dan memakai pakaian sutera  tetapi ia telah ditentang keras oleh golongan bangsawan sehingga akhirnya arahan itu dibatalkan. Julies Caesar dipercayai pemerintah Rom yang pertama memakai pakaian sutera yang sangat mahal ketika itu.


Kaedah penternakan ulat sutera merebak ke Korea dan Jepun yang di bawa oleh imigran China yang melarikan diri dari Maharaja China yang zalim. Di Jepun dan India penternakan sutera menjadi industri keluarga melibatkan dari anak-anak sehinggalah ke golongan dewasa.


Di India pula, cendiakawan  India mendakwa ulat sutera (Bombyx Mori) berasal dari negara mereka. Mengikut mereka ulat sutera  mula dipelihara di kawasan kaki bukit di Himalaya sejak zaman berzaman lagi.


Columbus pernah berkata kepada anak kapalnya bahawa siapa yang mendapati tanah terlebih dahulu akan dihadiahkan dengan sepasang baju sutera.


Pada abad ke tujuh apabila Islam Berjaya menakluk Parsi, orang Arab mula belajar proses menghasilkan sutera. Semasa perkembangan empayar Islam, mereka menyebar teknologi sericulture dan tenunan sutera  ke Afrika, Sicily dan Sepanyol.


Semasa kegemilangan Empayar Othmaniah di Turki, Bandar-bandar sepert Busra, Bilecik dan Uskadar pernah menjadi pusat pengeluaran  sutera terbaik di dunia. Kedudukan kerajaan Turki yang menghubung Asia dan Eropah menjadi tempat persinggahan berbagai jenis kain sutera.

Para saudagar sutera dar Iran yang melalui Anatolia dan Bursa sebelum menjualnya ke  Negara Eropah terutamanya Itali akan dikenakan cukai . Bisnis sutera di Turki menyumbang pendapatan yang besar kepada kerajaan. Produk seni dari hasil sutera menjadi koleksi resmi para sultan dan kebanyakan direkabentuk oleh artis tenunan yang hebat pada masa itu.


Di Lyon, Perancis  pada 1804, Jacquard memperkenalkan kaedah menghasilkan sutera  dengan mengguna kaedah ‘perforated card’  yang mengubah revolusi dalam teknik penenunan  sutera.


Langkasuka yang terletak di yang terletak di timur Semenanjung Tanah Melayu merupakan negeri Melayu yang dikait dengan kerajaan beraja yang memiliki dan mengguna pakaian  dan kelengkapan pakaian mewah dari sutera. Negeri di Selatan Langkasuka iaitu Kelantan dan Terengganu  merupakan kawasan yang sering menerima kunjungan pedagang Arab yang menjadi tempat perdagangan Sutera.


Antara tahun 700 -1000M Srivijaya-Palembang merupakan kerajaan yang terkenal sehingga menjadi wilayahnya pelabuhan dan tempat pertukaran barangan dagangan. Antaranya adalah sutera dari China.


Sutera di Tanah Melayu mula dikenali apabila berlakunya hubungan dagangan antara  China dan India dengan Kerajaan Melaka. Kain cindai yang terkenal di Tanah Melayu adalah dibuat dari kain sutera yang berasal dari India yang dikenali sebagai fabrik Patola. Malahan Sultan Melayu sering menempah fabrik-fabrik sutera yang bermutu tinggi dari India.


Ulat sutera juga adalah makanan popular di sesetengah negara seperti di China, Korea, Tanzania,  Afrika dan Zambia yang memakan larva ulat sutra kerana kandungan proteinnya yang tinggi.

Dongeng Rakyat China Tentang Sutera & Pokok Mulberi

Pada masa dahulu  seorang anak gadis sangat merindui bapanya yang merantau jauh dan sudah lama tidak pulang. Anak gadis ini mempunyai seekor kuda yang amat disayanginya dan untuk menghilang rindunya dia sering bercakap-cakap dengan  kudanya.

Suatu hari secara jenaka, si gadis ini berbisik kepada kudanya jika ia boleh membawa pulang bapanya ke rumah, ia akan berkahwin dengan kuda tersebut. Kuda itu seperti memahami akhirnya mencari bapa gadis itu dan seterusnya membawanya pulang ke rumah. Si gadis sangat gembira dengan kepulangan bapanya sehingga terlupa dengan kata-katanya dahulu untuk mengahwaini kuda tersebut jika bapanya di bawa pulang.

Si bapa menyedari bahawa sesuatu yang pelik telah berlaku kepada kuda tersebut kerana  apabila melihat kuda tersebut tidak makan dan menggelisah sepanjang masa. Ia bertanya kepada anak gadisnya apakah ia pernah berkata  sesuatu dengan kuda tersebut. Gadis itu mengakui bahawa  ia pernah bercakap dengan kuda tersebut akan berkahwin dengannya jika bapanya di bawa pulang ke rumah.

Untuk melindungi anak gadis tersebut bapa gadis tersebut membunuh kuda tersebut. Pada suatu hari semasa si gadis keluar rumah. Kuda yang mati telah bangun semula dan menyelimuti gadis tersebut . Gadis tersebut berubah menjadi menjadi  kepompong ulat sutera.

 Bapa gadis mencari anaknya sepanjang hari tetapi tidak menjumpainya sehinggalah jiran-jirannya memberitahu tentang kepompong ulat sutera tersebut. Dari kepompong tersebut muncul pokok mulberi yang subur yang menjadi itos rakyat China yang mempercayai bahawa pokok mulberi yang hidup adalah berasal dari kuda tadi.

Demikianlah kisah dongeng rakyat china yang sangat rapat dengan sutera dan pokok mulberi.

                                      ----------------------------------------------

Begitulah kisah sutera yang panjang dan beraneka ragam. Penuh lagenda, mitos dan cerita yang menarik. Menjadi kebanggaan kepada pemakainya, dicari dan dicuri rahsianya sehingga sanggup menggadai nyawa untuk mendapatkannya.

Kelembutan sutera diibarat seperti hati wanita yang lembut, penuh kesetiaan dan pengorbanan bila bercinta dan berkahwin sebagaimana kesetiaan dan pengorbanan ulat sutera itu sendiri.

Kepada para suami yang membaca kisah sutera ini sehingga di sini, bolehlah menempah sepasang baju sutera yang cantik  kepada isteri tercinta sebagaimana cintanya Lu Bu kepada Diao Chan yang menghadiah sepasang pakaian sutera yang cukup indah untuk isterinya.

Begitulah harapan si isteri ingin kelihatan ‘Seperti Sutera Dalam Lukisan’ apabila dipakai dengan sutera yang cantik.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018