Showing posts with label perniagaan internet. Show all posts
Showing posts with label perniagaan internet. Show all posts

Monday 30 December 2013

Melihat Semula Blog & Perancangan Masa Depan


Bila membaca semula post di dalam blog ini membuat saya tersenyum sendiri. Berkongsi pelbagai artikel, panduan dan lain-lain yang ada juga bersifat personal. Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri. Betulkah apa yang aku tulis ini? Semuanya datang secara spontan.

Pada mulanya blog ini dibangunkan bertujuan untuk menceritakan tentang keluarga dan aktiviti berkaitan hobi jahit-menjahit sahaja sepertimana banyak blog-blog yang lain yang menceritakan hal keluarga masing-masing. Ini boleh dilihat dalam post-post saya yang awal.

Tidak sangka pula apabila saya postkan panduan menjahit tudung chiffon 3 layer , terus sahaja mendapat perhatian. Menjadi post yang paling popular dalam blog ini sehingga mendapat banyak pertanyaan. Dari situlah saya mula menawarkan servis menjahit tudung secara online dan akhirnya membuka kelas menjahit tudung. Dari situ juga munculnya bermacam-macam idea untuk menulis blog dan membuka kedai online sendiri di www.nashfesyen.com.

Pada peringkat awal saya membuat promosi servis menjahit melalui mudah.com dan majalah.com. Promosi lebih tertumpu kepada servis menjahit tepi tudung dan shawl serta menjahit pakaian wanita tidak termasuk menjahit tudung. Disebabkan syarat yang diletakkan oleh mudah.com dan majalah.com yang begitu terhad di mana pengiklan tidak boleh mengiklan produk setiap hari dan perlu menunggu lama untuk mengiklan produk atau servis seterusnya timbullah idea untuk belajar membuat blog melalui platform blogspot.

Peringkat awal blog tidak ramai pengunjung dan terasa seperti syok sendiri sahaja. Dengan panduan melalui google dan panduan daripada beberapa blog tertentu barulah saya belajar bagaimana kaedah untuk menarik pengunjung ke blog dan blog ini perlahan-lahan mula menerima pengunjung.

Pada masa ini saya tidak lagi terlalu bergantung kepada mudah.com dan majalah.com untuk mempromosi servis yang saya lakukan.

 Apa Yang Saya Dapat Daripada Blog Ini? 

  • Memperolehi pendapatan melalui servis yang saya lakukan dan dari jualan produk melalui kedai online yang saya bangunkan.
  • Membuat promosi tentang servis yang saya lakukan. Tidak lagi terlalu bergantung kepada laman pengiklanan yang lain. Saya bebas mengiklankan produk saya sebanyak mana yang saya suka tanpada ada limit. Inilah cara marketing yang paling mudah dan murah. Platform blogspot adalah percuma. 
  • Berkongsi pengalaman dan idea dengan pengunjung-pengunjung yang lain.
  • Dapat membina kredibiliti. Sekurang-kurangnya dengan tulisan-tulisan saya boleh menunjukkan saya tahu apa yang saya lakukan dan pembaca blog ini tahu apakah kepakaran saya. Apa yang saya kongsikan diharapkan menjadi maklumat yang berguna kepada pembaca dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi melalui blog ini. Dan harapan saya juga blog ini boleh menjadi rujukan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam bisnes seperti yang saya lakukan.
  • Dengan bloglah, saya merasakan saya lebih mesra dengan pengunjung yang datang. Saya cuba mengguna gaya penulisan seperti yang ada sekarang supaya tidak terlalu serius. Kebanyakan tulisan adalah datang dari hati saya yang ikhlas berdasarkan pengalaman seharian yang telah saya lalui. Sekurang-kurangnya saya mencuba dahulu sebelum saya berkongsi dengan pengunjung lain. 
  • Blog ini menjadi saluran maklumat antara saya dengan pengunjung. Apa-apa yang saya lakukan saya berkongsi dengan pengunjung. Dengan memaparkan hasil jahitan dan pengalaman saya termasuk gambar keluarga, nombor telefon, lokasi rumah menunjukkan saya betul-betul wujud dan serius dan pengunjung lebih mempercayai bisnes yang saya lakukan. Siapa pun boleh menghubungi saya malahan datang ke rumah saya pada bila-bila masa jika saya ada dirumah.
  • Dengan blog ini juga saya mula membina peminat dan pelanggan saya sendiri sama ada melalui facebook dan google+ dan sebagainya.
  • Blog ini juga menjadi kedai online saya di mana saya boleh gunakan untuk memasarkan produk saya sendiri.
  • Artikel yang terkumpul melalui blog ini akan kekal selagi saya tidak memadamnya atau dirosakkan/hack oleh orang lain atau jika google tidak meneruskan lagi platform blogspot ini. Artikel dan panduan di blog ini boleh menjadi sumber rujukan untuk hari ini dan masa hadapan.
  • Mendapat ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan blogging, bisnes internet dan ilmu berkaitan grafik.
Pencapaian Sepanjang Berblog Selama Enam Bulan

  • Sudah 100 entri termasuk entri ini sudah dipost di blog Nash Fesyen dalam tempoh 6 bulan blog ini wujud. 
  • Mempunyai 10 panduan untuk pengunjung termasuk 3 panduan membuat tudung dan 1 panduan membuat shawl. 
  • Menghasilkan 1 ebook panduan menjahit tudung.
  • Membina kedai online mengguna sistem Zen Cart
  • Mengumpul 327 like untuk facebook page Nash Fesyen sehingga hari ini.
  • Mengumpul 62 follower untuk google plus sehingga hari ini. 
  • Mendapat tambahan friend sekurang-kurang 5 – 10 friends setiap hari untuk facebook saya sendiri. Kebanyakan yang add sebagai friend adalah untuk bertanya produk atau servis yang saya lakukan.
  • Mendapat penarafan Page Rank (PR) pada skala 2 dari google.
  • Mendapat ranking Alexa di bawah 1.5 juta pada peringkat global dan di bawah 20,000 untuk peringkat Malaysia.
  • Kebanyakan keyword untuk servis yang saya lakukan adalah pada page pertama carian pada google.
  • Mempunyai kawan bukan sahaja secara on line tetapi juga secara offline yang datang hampir setiap untuk mendapat servis yang saya sediakan.
  • Menjana pendapatan yang agak konsisten terutamanya pada akhir-akhir ini sekurang-kurangnya pendapatan sehari saya sudah mampu membayar bil bulanan unifi. 
  • Membina rangkaian dengan tukang jahit yang lain yang saling membantu antara satu sama lain. 
Perancangan 2014
  • Menambah lebih banyak produk sendiri di kedai online Nash Fesyen yang selama ini semacam diabaikan kerana memberi prioriti kepada tempahan menjahit daripada pelanggan yang tak pernah putus-putus. Perancangan awal juga akan dilakukan untuk memenuhi keperluan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi. 
  • Memperbaiki dari segi rekabentuk blog ini supaya lebih mesra pengunjung. Mungkin mencuba dengan layout yang lebih menarik. 
  • Menambah beberapa lagi panduan menjahit tudung untuk rujukan pengunjung. - Membuat beberapa lagi ebook berkaitan panduan menjahit.
  • Mempelajari ilmu-ilmu berkaitan SEO dan ‘graphic editing’ supaya gambar-gambar yang dipaparkan lebih menarik.
  • Menggunakan google + sebagai platform untuk mempromosi bisnes. Saya melihat google + sebagai platform bisnes yang tidak boleh diabaikan.
  • Memperkemaskan lagi page facebook Nash Fesyen dengan pelbagai perkongsian menarik. - Mengguna twitter, instagram, pinterest, linkedIn sebagai medium social untuk mempromosi bisnes saya. 
  • Mengikuti kursus-kursus berkaitan usahawan.
  • Meningkat ilmu berkaitan usahawan internet.
Perancangan Jangkamasa Panjang
  • Menjadi usahawan berjaya.
  • Mempopularkan jenama Nash Fesyen sehingga menjadi bualan ramai.
  • Membuka butik sendiri.
Untuk Mencapainya Saya Perlu:
  • Merasa yakin dan bangga dengan apa yang saya lakukan.
  • Bekerja keras untuk menjadikan usaha yang dilakukan adalah yang terbaik bukan sekadar hobi di masa lapang.
  • Konsisten dengan usaha yang dilakukan.
  • Bermotivasi tinggi.
  • Mengkaji pencapaian dan membuat analisis dari masa ke semasa.
  • Berinteraksi dengan pelanggan dan pengunjung sebaik mungkin. 
  • Mengenali lebih ramai pelanggan.
Apa yang saya gariskan di sini atas bukanlah untuk syok sendiri atau nak menunjuk-nunjuk tetapi untuk muhasabah diri dan MENCABAR DIRI SAYA SENDIRI sebagai pemangkin untuk berjaya dan saya sentiasa berdoa semoga apa yang saya lakukan diberkati oleh Allah s.w.t.

Sunday 1 September 2013

Cara Jual Shawl Online

Pelbagai jenis shawl

bergaya dengan shawl

Semakin ramai yang melibatkan diri dalam perniagaan online. Antara yang popular adalah menjual tudung atau shawl secara online. Salah seorang customer saya, student dari UKM memberitahu dia berjaya sehingga 80 helai shawl sebulan. Baru-baru ini saya mendapat tempahan untuk menjahit tepi shawl dari student UPM sebanyak 51 helai. Sebelum ini sahaja ramai pelanggan saya datang khas untuk jahit tepi shawl. Sememangnya pertanyaan tentang shawl memang tak pernah putus-putus.

Trend menjual shawl secara online semakin meningkat kerana mendapat permintaan yang tinggi di kalangan remaja. Mereka kelihatan segak dan bergaya apabila mengenakan shawl di kepala. Anak saya sendiri lebih suka memakai shawl daripada tudung layer. Katanya trend sekarang remaja sekarang memang suka memakai shawl. Inilah peluang untuk menjual shawl secara online.

Lihat sahaja begitu banyak keyword yang digoogle di internet mengenai shawl seperti - shawl dua warna, shawl cotton tribal, shawl dua tone, shawl chiffon, shawl yuna, shawl zara, shawl sila amzah, shawl silk, shawl untuk pengantin, shawl cotton 2 layer, shawl muslimah, shawl bawal, shawl blog, shawl online murah, shawl online shopping, shawl online blog, shawl online boutique, blog jual shawl, dan banyak lagi.

Begitu banyak search untuk pelbagai jenis shawl menunjukkan permintaan yang tinggi untuk shawl. Kita perlu ambil peluang ini untuk mulakan perniagaan shawl secara online.

BAGAIMANA NAK BERMULA?

Minat

Mesti ada minat untuk berniaga. Kalau tak berminat lupakan sahaja niat utnuk berniaga.

Ilmu

Ilmu terutama sekali ilmu komunikasi dengan pelanggan. Ilmu menggunakan internet seperti facebook, e-mail dan lain-lain yang berkaitan. Memahami etika penggunaan internet penting supaya kita tidak dianggap sebagai penjual yang tak beretika. Pengetahuan tentang trend terkini shawl juga penting supaya kita tidak dianggap ketinggalan. Perkara ini boleh dipelajari jika kita ada minat.

Produk

Produk yang saya cadangkan adalah shawl.

Kita boleh membeli secara borong dengan harga yang murah. Jika kita membeli secara borong, corak atau pattern selendang adalah mengikut pattern yang telah sedia ada dari kilang. Kita tidak ada banyak pilihan.

Satu lagi cadangan saya kita membeli kain sendiri dan menghantarnya kepada tukang jahit. Kita beli kain mengikut kehendak kita sendiri dengan corak yang kita pilih sendiri. Potong sendiri kain mengikut bentuk selendang dan hantar kepada tukang jahit untuk jahit tepi halus. Saya menyedia perkhidmatan jahit tepi halus.

Untuk peringkat permulaan kita boleh cuba dengan modal yang kecil dahulu.

Komputer/Laptop dan Sambungan Internet

Kalau nak berniaga online kenalah sediakan semua peralatan ini. Kalau tak ada macam mana nak berniaga.

Kamera
Untuk mengambil gambar shawl yang cantik perlu ada kamera. Gambar ini perlu kita upload ke internet.

Kaedah Pembayaran

Kalau nak menjual mesti ada akaun di mana pembeli perlu transfer duit ke akaun kita. Saya cadangkan kita mengguna akaun maybank2u. Ini kerana di mana-mana sahaja terdapat mesin ATM Maybank dan dapat memudah pembeli membuat pembayaran. Antara cadangan lain menggunakan akaun CIMB. Untuk pembelian dari luar negara kita boleh guna akaun Paypal.

Menghantar Pesanan

Gunakan perkhidmatan pos laju atau perkhidmatan kurier yang lain di mana kita boleh tracking pergerakan produk.


PERKARA YANG PALING PENTING ADALAH MENGIKLANKAN PRODUK KITA.

Bagaimana nak mengiklankan produk kita?

Blog

Saya mencadang kita menggunakan blog untuk mempromosi produk shawl kita. Kita ada kawalan terhadap blog kita sendiri. Kita boleh kemaskini blog kita sebanyak mana yang kita mahu. Letakkan gambar-gambar shawl yang menarik. Iklankan blog kita. Kita perlu pastikan blog kita dipaparkan pada page google. Kita perlu mempelajari teknik SEO.

Kita boleh mengguna Blogspot atau Wordpress. PERCUMA sahaja. Belajarlah untuk membina blog. Jangan risau kalau kita tak pandai pada permulaan. Apabila kita dah mula berblog kita secara secra automatik akan menguasainya.

Blog saya sendiri pun dari segi rekabentuk tidaklah begitu menarik. Saya pun masih belajar. Template yang saya guna pun saya dapatkan secara percuma dari internet. Saya pun baru bermula dalam dunia blog ini. Alhamdulillah, setakat ini setiap hari ada sahaja pertanyaan dari pelanggan.

Kalau nak lebih professional kita boleh beli hosting dan domain kita sendiri.

Facebook

Kalau selama ini kita hanya menggunakan facebook untuk berkongsi gambar dan cerita kita. Kali ini kita boleh membuat promosi untuk memperkenalkan shawl kita. Gunakan facebook secara beretika. Jangan 'tag' ikut sesuka hati. Jangan keterlaluan mempromosi produk kita.

Facebook Fan Page

Kita boleh create dan set profile fan page kita sendiri untuk mengiklan produk kita. Jemput kawan-kawan kita untuk promosi fanpage kita.

Instagram dan Twitter

Mulakan upload gambar-gambar shawl kita dan sebarkan melalui twitter.

Mengiklan di web pengiklanan.

Antaranya seperti mudah.com dan majalah.com. PERCUMA

Kedai Online

Kalau perniagaan dah maju, bolehlah kita buka kedai online kita sendiri iaitu dengan mengguna e-commerce software atau blogshop. Kita boleh mengguna open source shopping cart sepert Zen Cart, Magento, ZeusCart, PrestaShop dan lain-lain. Pembayaran pula boleh setkan dengan mengguna kad kredit.


Bagaimana?

Kalau dah bersedia bolehlah mula. Pergi beli kain, potong ikut saiz shawl dan hantar kepada saya untuk jahit tepi halus dan start buat promosi. Ingat usaha yang bersungguh-sungguh akan menghasilkan kejayaan.


BEBERAPA TIP TAMBAHAN

1. Untuk menarik perhatian pelanggan, gambar yang kita upload mestilah cantik dan menarik. Kita boleh menggaya sendiri shawl yang kita nak jual. Kalau muka kiut, comel, segak lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Kalau malu nak letak gambar sendiri boleh guna model atau gayakan sahaja pada kepala patung.

2. Kita mesti berani menonjolkan diri kita. Meletak gambar sendiri beserta contact no. lebih meyakinkan pelanggan. Kalau kita nak menyembunyikan identiti kita dan muncul sebagai anonymous tentunya pelanggan tak yakin dan menganggap kita cuba menipu.

3. Mencari kawan atau follower seramai mungkin. Ingat pembeli yang yakin dengan kita sahaja yang akan membuat pembelian.

4. Terus belajar ilmu perniagaan internet seperti rekabentuk blog/web, ilmu-ilmu seo supaya blog kita sentiasa dipaparkan di muka pertama terutamnanya di google. Bila pengguna internet membuat search produk shawl mereka akan menjumpai blog kita.

5. Mengembali wang kepada pelanggan jika pelanggan tak berpuashati.

6. Tunjukkan cara-cara memakai shawl yang kita nak jual seperti merakam dalam bentuk video dan upload ke Youtube.

7. Mengetahui trend shawl terkini dan mengambil peluang menjualnya semasa mendapat sambutan.


Kalau tak laku macam mana?

Bawa sahaja ke tempat kerja kita dan jual secara offline.

Kalau tak laku juga?

Boleh pakai sendiri.

SELAMAT MENCUBA


Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018