Showing posts with label kebaya. Show all posts
Showing posts with label kebaya. Show all posts

Friday 30 January 2015

Kebaya Tradisional


Kebaya adalah baju labuh yang mempunyai belahan di hadapan. Terdapat pelbagai nama untuk kebaya mengikut tempat dan asal-usulnya, jenis kainnya dan lain-lain. Kebaya tradisonal sudah lama dikenali di kalangan penggemar kebaya dan menjadi fesyen yang menjadi kegilaan satu masa dahulu.

Kebaya tradisional ada pelbagai fesyen dan bentuk. Juga dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu atau kebaya lipat di kalangan tukang jahit. Jika kita lihat dalam filem-filem Melayu lama pasti akan terjumpa kebaya tradisonal ini dipakai oleh aktor wanita dalam filem tersebut. Baju kebaya tradisional ini biasanya dipakai dengan kain batik sebagai pelengkap fesyen.  

Jika emak atau datuk atau nenek kita melihat kebaya tradisional ini semula tentu terukir senyuman mengingati nostalgia lama ketika memakai kebaya tradisonal ini semasa ke majlis perkahwinan atau majlis-majlis keraian yang lain. Terkenang semula ketika iti semasa badan masih fit dan bergetah dengan potongan badan yang cantik ketika itu. Di dalam beg pakaian mesti ada sekurang-kurangnya sepasang kebaya tradisonal ini.

Baju kebaya tradisonal memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas kerana sehingga kini masih ada yang meminatinya. Kalau dahulu digaya oleh emak dan nenek kita kini anaknya pula turut menggayakannya. Oleh sebab itu permintaan untuk menjahitnya tetap ada walaupun kebaya tradisonal ini dianggap sebagai fesyen yang sudah lama. Dengan pelbagai aksesori yang ada sekarang seperti kerongsang, bengkung dan sebagainya yang dipakai bersama-sama menjadikan pemakainya nampak elegan, anggun dan menawan sekali apabila menggayakan kabaya ini.

Untuk menjahitnya tidak begitu sukar kerana kebiasaanya setiap tukang jahit akan belajar menjahit baju kebaya ini selain baju kurung semasa belajar asas menjahit baju dahulu. Tempahan untuk menjahit baju kebaya sekarang ini kebanyakannya sekarang bersama-sama dengan kainnya sekali. 

Sudah beberapa entri mengenai kebaya yang saya sudah postkan dalam blog ini.  Boleh selak-selak semula entri-entri saya yang lepas untuk mengenali jenis-jenis kebaya yang lain.

Kak Ros boleh jahit kebaya?

InshaAllah.

Sunday 9 March 2014

Kebaya Sari



Kebaya di atas adalah tempahan dari pelanggan saya dari kain sari. Entri kali ini saya ceritakan tentang fabrik sari dan juga jenis-jenis kebaya yang biasanya digayakan di negara ini.

Sari atau saree merupakan pakaian tradisional orang India yang sangat popular.

Ianya adalah sebidang fabrik atau kain berukuran lima hingga enam meter yang tidak dijahit dan dipakai oleh golongan wanita di India dan Bangladesh. Perkataan sari berasal dari bahasa Sanskrit bermaksud sejalur kain. Pemakiannya dengan cara melilit kain sari pada badan dengan bahagian hujungnya yang biasanya bersulam diletak di atas bahu kiri.

Fabrik sari diperbuat daripada sutera, kapas dan juga kombinasi kapas dan sutera. Pada masa sekarang sari juga diperbuat daripada kain sintetik di mana harganya lebih rendah berbanding dengan fabrik yang diperbuat daripada bahan sutera atau kapas. Sari yang lebih mahal diperbuat daripada sutera yang bercampur dengan emas yang menghasilkan kesan berkilau atau daripada bahan kapas yang lebih licin dan halus.

Dengan peredaran masa penggunaan kain sari telah dipelbagaikan dan disesuaikan dalam peredaran fesyen. Kini kain sari turut dijadikan sebagai baju kurung dan kebaya.

Kain sari  bersifat lembut dan sejuk bergantung kepada bahan asalnya. Kelihatan eksklusif apabila dijadikan baju kurung atau kebaya.

Selain daripada kebaya sari terdapat pelbagai jenis lagi nama kebaya yang digayakan di negara ini. Untuk melengkapkan artikel ini, saya salin semula artikel menarik berkaitan jenis-jenis kebaya seperti terdapat pada Harian Metro.

Boleh dibaca juga pada link ini: http://www.hmetro.com.my/articles/Asalusulbajukebaya/Article

Asal usul baju kebaya
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kebaya dulu hanya dikenakan golongan keluarga pemerintah di Pulau Jawa sebelum 1600. Sepanjang zaman penjajahan Belanda di kepulauan itu, wanita Eropah mula mengenakan kebaya sebagai pakaian rasmi.

Pakaian tradisional ini banyak digayakan wanita Malaysia dan Indonesia. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipadankan dengan kain sarung, batik atau pakaian tradisional lain seperti songket dengan motif warna-warni.

Ia dipercayai berasal dari negara Arab. Orang Arab membawa baju kebaya (bahasa Arab adalah abaya) ke Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu. Kemudian ia mula dikenali hingga ke Melaka, Jawa, Bali, Sumatera, dan Sulawesi.

Pakaian yang mirip ‘kebaya nyonya’ dicipta kali pertama oleh masyarakat Peranakan (golongan Baba dan Nyonya) dari Melaka. Mereka menggayakannya dengan kain sarung batik dan kasut cantik bermanik.

Mengikut fakta sejarah, wanita peranakan Cina memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930-an. Kini, kebaya nyonya bukan hanya digayakan wanita Asia saja, malah ia diterima pakai di serata dunia.

Terdapat beberapa jenis kebaya yang digayakan di negara ini. Antaranya:

Baju Belah Kebaya Panjang

Menurut Portal rasmi kerajaan Negeri Johor, walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, pada acara majlis, mereka hadir dengan memakai kebaya sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Bezanya, ia berbelah dan berpesak di hadapan baju, biasanya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi.

Baju belah kebaya panjang terkenal di Melaka, Perak, Selangor, Kedah serta Perlis. Ia kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’.

Tradisi itu berkembang menjadi kebaya dan direka dengan potongan bahagian tangan lebih panjang, berpesak lurus di depan, berkekek serta dada berbelah yang di tutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Kebaya Kota Bharu

Ia dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai wanita di Kota Bharu dan Kelantan. Beza antara kebaya ini dengan yang lain adalah rekaan di bahagian depan dada baju kebaya berkenaan.

Bahagian depannya mempunyai kancing, sama seperti kebaya di Pulau Jawa terutama di kota Bandung yang di panggil Kebaya Kutu Baru.

Kebaya Riau-Pahang

Di Pahang pula, baju kebayanya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau dipanggil kebaya Turki. Perbezaannya menerusi rekaan leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang.

Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasang dengan kerongsang di bawah kancingnya.

Kebaya Nyonya

Fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya Nyonya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.

Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau poliester. Pada zaman dulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya Nyonya daripada jenis bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah, sesuai dengan status Nyonya.

Kebarung

Ia gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung. Busana yang berasal dari Selangor sangat popular dan diminati pada awal 90-an.

Kebaya Chitty

Sama seperti wanita Selat atau Nyonya Cina, kaum India Chitty juga mempunyai kebaya. Perbezaannya ia dipakai oleh Peranakan India dan Cina.

Kebaya Chitty lebih menggunakan bahan legap berbanding kebaya Nyonya yang gemar menggunakan kain separa telus. Kebaya Chitty ada yang ditambah sulaman halus atau kosong.

Kebaya lain

Selain kebarung, Selangor juga mempunyai kebayanya sendiri. Kebaya Selangor tidak mempunyai kolar. Kebaya di Pulau Pinang popular dengan kebaya Nyonya.

Selain itu, ada kebaya daripada kaum Jawi Peranakan iaitu kaum India Muslim yang menghasilkan kebaya menggunakan kain renda dihiasi sulaman labuci berbeza.

Ada juga yang menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.

Lihat entri yang lain dalam blog ini berkaitan kebaya.

Kebaya Nyonya
Kebaya dan Kebarung

Thursday 6 March 2014

Jahit Kebaya Nyonya



Kebaya Nyonya tetap ada peminatnya walaupun fesyen ini sudah lama diperkenalkan seperti mana tempahan dari pelanggan saya seperti di atas. Walaupun nampak simple tetapi bila hendak menjahit pening juga nak memikirkan bagaimana cara untuk mendapat corak bunga seperti yang dikehendaki. Bila sudah menjadi baju barulah nampak corak bunganya yang menarik.

Pada entri saya yang lepas berkaitan dengan jahit kebaya, saya ada sentuh sedikit tentang kebaya nyonya ini seperti berikut.

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya Nyonya. Dinamakan kebaya Nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Kali ini saya salinkan satu artikel menarik yang diambil daripada pamplet Sampul Surat Hari Pertama keluaran Pos Malaysia pada 2.11.2002

Kebaya Nyonya Warisan Busana Malaysia

Tatkala kelompok Nyonya mula memakai baju panjang kapas coklat dengan potongannya seakan 'habaya' orang Arab, mereka tidak menyangka keturunan mereka akan merekabentuk pakaian yang menjadi fesyen ikutan masyarakat Malaysia hari ini.

Pemikiran kreatif serta sifat mudah menyerap dan menerapkan unsur-unsur positif kepada generasi seterusnya bagi membolehkan evolusi pakaian kebaya bertapak kukuh. Kedatangan fabrik rubia yang kembut dan berwarna-warni menjadikan pemakaian baju panjang lebih selesa berbanding dengan kain kapas tenun yang perlu dikanjikan terlebih dahulu.

Apabila kaum Nyonya generasi baru ini didedahkan kepada kemeja dan kain sempadan berendah Eropah, mereka telah memendekkan baju mereka ke paras pinggang dan menjahitkan sempadan yang berendah agar mereka lebih selesa tetapi tidak kurang mempersonakan dalam cuaca panas ini. Pakaian sebegini dikenali sebagai kebaya (be)rendah.

Mereka turut tertarik pada warna sarung batik yang cantik tetapi mendapati kain sempadan berendah sewarna sahaja. Justeru itu mereka meniru corak sarong dengan menyulam corak tersebut pada baju yang pendek ini dengan jarum dan benang berwarna. Dengan itu terciptalah kebaya rubia bersulam.

Pada mulanya sulaman pada kebaya memakan masa yang lama hasil sulaman tangan tetapi proses ini dipercepatkan dengan kedatangan mesin jahit. Hasil sulaman yang halus, bermutu dan eksklusif ini menjadi kebanggaan si pemakai. Motif sulaman keseluruhan diulangi beberapa kali dan diilhamkan daripada kuntum atau jambak bunga-bungaan, serangga,ikan, buah-buahan ataupun berunsurkan sesuatu tema seperti perkahwinan, perayaan Easter, keramaian, tarian tradisional dan sebagainya.

Motif utama adakalanya ditonjolkan oleh sulaman jaring bertebuk yang rumit dan mengambil masa yang lama. Kebaya sulaman padat menjadi pilihan ke majlis keramaian sementara kebaya sulaman berbiku mudah dipakaikan untuk kegunaan seharian.

Warna fabrik dan sulaman terang serta garang sesuai untuk kaum muda-mudi tetapi Nyonya yang telah meningkat usia sering memilih warna yang kurang cerah. Warna putih, biru dan hijau disimpan untuk tempoh berkabung atau bertandang ke rumah jenazah. Pakaian menarik ini secara tradisinya dipadankan dengan sarung batik bersama kasut manik dan disematkan bersama kerongsang rantai.

Thursday 9 January 2014

Jahit Kebaya & Kebarung

kebaya

kebarung

Saya jarang menerima tempahan menjahit baju kebaya dan juga kebarung sejak berpindah ke Bangi ini. Tidak banyak permintaan. Tidak seperti semasa saya berada di Sungai Petani dahulu ada sahaja baju kebaya dan kebarung dihantar untuk dijahit.

Kebanyakan pelanggan saya di sekitar Bangi ini lebih suka menghantar baju kurung moden atau jubah sahaja. Mungkin trend sekarang fesyen baju kurung moden lebih sesuai dan diminati berbanding kebaya. Lagi pun fesyen baju kebaya yang fit dengan badan lebih nampak sexy berbanding baju kurung moden. Mungkin sebab itu tak begitu sesuai bagi sesetengah orang. Sebab itulah pilihan yang sesuai adalah baju kurung moden atau  fesyen kebarung sahaja yang boleh menggantikan kebaya.

Kebaya adalah pakaian tradisional wanita melayu dan juga Indonesia yang sudah lama wujud. Mengikut sejarah kebaya dikatakan berasal dari Negara Arab yang di bawa ke Tanah Melayu dan Indonesia sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi.

Baju kebaya menjadi antara kesukaan wanita melayu terutama pada tahun 60an dahulu. Kita boleh lihat dalam filem-filem melayu lama, ramai pelakon wanitanya memakai baju kebaya yang menunjukkan baju ini begitu popular pada masa dahulu. Sekarang baju kebaya bukan sahaja dipakai oleh wanita melayu tetapi semua bangsa boleh dilihat memakai baju kebaya.

Biasanya baju kebaya dijahit mengikut saiz badan pemakai kerana pemakai lebih suka bajunya fit pada body supaya nampak lebih ramping seperti semut. Tentunya untuk menjahit kebaya ukuran yang tepat perlu diambil. 

Kebarung pula adalah kombinasi baju kebaya dan baju kurung. Kebarung berbentuk seperti kebaya tetapi mempunyai saiz seperti baju kurung. Oleh kerana baju kebaya ini mengikut bentuk badan yang kelihatan lebih sexy maka tidak begitu sesuai kepada mereka yang bersaiz besar. Jika mereka ingin berfesyen seperti kebaya juga  tetapi dalam bentuk yang lebih longgar lebih sesuai memilih baju  kebarung. 

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya nyonya. Dinamakan kebaya nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018