Showing posts with label jahit kebaya. Show all posts
Showing posts with label jahit kebaya. Show all posts

Friday 30 September 2016

Menerima Tempahan Menjahit Baju Lelaki dan Wanita

Saya sedia menerima tempahan menjahit baju lelaki dan wanita. Tempahan untuk menjahit baju kurung, baju mini kurung, kebaya, kebarung, dress, jubah, peplum, blouse, baju pengantin, baju fesyen dan lain-lain kini dibuka semula.

Sekarang saya juga menerima tempahan untuk menjahit baju lelaki seperti uniform, baju sekolah lelaki, baju kemeja dan lain-lain. Berminat boleh hubungi saya.

Lihat contoh baju tempahan terkini dari pelanggan.

Baju kurung lining


Dress


Baju sekolah lelaki


Baju Budak



Baju kurung






Sudah ada yang booking untuk tempahan hari raya tahun ini. InsyaAllah sudah masuk senarai. 

Setakat ini saya hanya mengambil tempahan untuk individu sahaja.

Macam mana nak contact Kak Ros?  

Ada no telefon dalam blog ini. 

Friday 30 January 2015

Kebaya Tradisional


Kebaya adalah baju labuh yang mempunyai belahan di hadapan. Terdapat pelbagai nama untuk kebaya mengikut tempat dan asal-usulnya, jenis kainnya dan lain-lain. Kebaya tradisonal sudah lama dikenali di kalangan penggemar kebaya dan menjadi fesyen yang menjadi kegilaan satu masa dahulu.

Kebaya tradisional ada pelbagai fesyen dan bentuk. Juga dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu atau kebaya lipat di kalangan tukang jahit. Jika kita lihat dalam filem-filem Melayu lama pasti akan terjumpa kebaya tradisonal ini dipakai oleh aktor wanita dalam filem tersebut. Baju kebaya tradisional ini biasanya dipakai dengan kain batik sebagai pelengkap fesyen.  

Jika emak atau datuk atau nenek kita melihat kebaya tradisional ini semula tentu terukir senyuman mengingati nostalgia lama ketika memakai kebaya tradisonal ini semasa ke majlis perkahwinan atau majlis-majlis keraian yang lain. Terkenang semula ketika iti semasa badan masih fit dan bergetah dengan potongan badan yang cantik ketika itu. Di dalam beg pakaian mesti ada sekurang-kurangnya sepasang kebaya tradisonal ini.

Baju kebaya tradisonal memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas kerana sehingga kini masih ada yang meminatinya. Kalau dahulu digaya oleh emak dan nenek kita kini anaknya pula turut menggayakannya. Oleh sebab itu permintaan untuk menjahitnya tetap ada walaupun kebaya tradisonal ini dianggap sebagai fesyen yang sudah lama. Dengan pelbagai aksesori yang ada sekarang seperti kerongsang, bengkung dan sebagainya yang dipakai bersama-sama menjadikan pemakainya nampak elegan, anggun dan menawan sekali apabila menggayakan kabaya ini.

Untuk menjahitnya tidak begitu sukar kerana kebiasaanya setiap tukang jahit akan belajar menjahit baju kebaya ini selain baju kurung semasa belajar asas menjahit baju dahulu. Tempahan untuk menjahit baju kebaya sekarang ini kebanyakannya sekarang bersama-sama dengan kainnya sekali. 

Sudah beberapa entri mengenai kebaya yang saya sudah postkan dalam blog ini.  Boleh selak-selak semula entri-entri saya yang lepas untuk mengenali jenis-jenis kebaya yang lain.

Kak Ros boleh jahit kebaya?

InshaAllah.

Thursday 9 January 2014

Jahit Kebaya & Kebarung

kebaya

kebarung

Saya jarang menerima tempahan menjahit baju kebaya dan juga kebarung sejak berpindah ke Bangi ini. Tidak banyak permintaan. Tidak seperti semasa saya berada di Sungai Petani dahulu ada sahaja baju kebaya dan kebarung dihantar untuk dijahit.

Kebanyakan pelanggan saya di sekitar Bangi ini lebih suka menghantar baju kurung moden atau jubah sahaja. Mungkin trend sekarang fesyen baju kurung moden lebih sesuai dan diminati berbanding kebaya. Lagi pun fesyen baju kebaya yang fit dengan badan lebih nampak sexy berbanding baju kurung moden. Mungkin sebab itu tak begitu sesuai bagi sesetengah orang. Sebab itulah pilihan yang sesuai adalah baju kurung moden atau  fesyen kebarung sahaja yang boleh menggantikan kebaya.

Kebaya adalah pakaian tradisional wanita melayu dan juga Indonesia yang sudah lama wujud. Mengikut sejarah kebaya dikatakan berasal dari Negara Arab yang di bawa ke Tanah Melayu dan Indonesia sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi.

Baju kebaya menjadi antara kesukaan wanita melayu terutama pada tahun 60an dahulu. Kita boleh lihat dalam filem-filem melayu lama, ramai pelakon wanitanya memakai baju kebaya yang menunjukkan baju ini begitu popular pada masa dahulu. Sekarang baju kebaya bukan sahaja dipakai oleh wanita melayu tetapi semua bangsa boleh dilihat memakai baju kebaya.

Biasanya baju kebaya dijahit mengikut saiz badan pemakai kerana pemakai lebih suka bajunya fit pada body supaya nampak lebih ramping seperti semut. Tentunya untuk menjahit kebaya ukuran yang tepat perlu diambil. 

Kebarung pula adalah kombinasi baju kebaya dan baju kurung. Kebarung berbentuk seperti kebaya tetapi mempunyai saiz seperti baju kurung. Oleh kerana baju kebaya ini mengikut bentuk badan yang kelihatan lebih sexy maka tidak begitu sesuai kepada mereka yang bersaiz besar. Jika mereka ingin berfesyen seperti kebaya juga  tetapi dalam bentuk yang lebih longgar lebih sesuai memilih baju  kebarung. 

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya nyonya. Dinamakan kebaya nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018