Thursday 18 September 2014

Apakah Tujuan Mendapat Trafik Yang Tinggi Pada Blog?

Statistik Blog Nash Fesyen Untuk Setahun

Blog ini lahir pada 29 Julai 2013. Rupanya sudah setahun lebih aku menulis blog. Data di atas adalah data dari Google Analytics untuk blog ini dari 29 Julai 2013 sehingga 29 Julai 2014 untuk tempoh setahun. Jumlah pageviews untuk setahun adalah 831,508. Bounce rate pula adalah 3.20%. Tidak terlalu tinggi tetapi tidak juga terlalu rendah.

Setiap blogger inginkan trafik yang tinggi untuk blog mereka. 

Apakah tujuan mendapat trafik yang tinggi?

Adakah trafik yang tinggi merupakan kejayaan kepada sesuatu blog?

Setiap orang ada pandangan sendiri mengikut matlamat masing-masing menulis blog.

Jika matlamatnya untuk berdakwah dan menyampai ilmu, trafik yang tinggi merupakan suatu kejayaan. Tetapi itu juga bergantung kepada kandungan blog masing-masing, Apakah ilmu dan dakwah yang hendak disampaikan berkesan atau tidak.

Matlamat setiap orang berbeza. Terserahlah kepada tujuan masing-masing menulis blog. Antaranya seperti untuk menambah pendapatan, menambah kenalan, membantu orang lain, berkongsi pengalaman, mengumpul follower, menjadi popular, mengasah skill menulis, sebagai rujukan sendiri, menyampai pendapat, menyediakan panduan, merakam kisah harian, kenangan hidup, mengurangkan stress, mendapat perhatian dan lain-lain. Perlu tanya diri sendiri apabila sudah lama menulis adakah matlamat tersebut telah tercapai. 

Bagi blog ini, matlamat adalah untuk memperkenalkan perkhidmatan jahit menjahit yang aku lakukan dan seterusnya menjana pendapatan. Untuk menambah pendapatan aku perlu memastikan pengunjung yang datang ke blog ini menjadi pelanggan untuk servis yang aku lakukan. Biar trafik tidak tinggi tetapi trafik tersebut berjaya menambah pendapatan kepada ku. 

Trafik yang diperlukan adalah  trafik sasaran (targeted traffic) iaitu trafik yang boleh menukar pengunjung menjadi pelanggan yang ingin mendapat perkhidmatan yang aku sediakan.

Salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dengan bermain-main dengan keyword untuk servis yang aku lakukan supaya melekat di muka pertama google. Dengan carian melalui google akan membawa mereka ke blog ini. Itu yang selalu aku fikir dan kaji sejak hari pertama lagi aku membangunkan blog ini. Bagi aku kajian keyword amat penting untuk mencapai matlamat yang aku tetapkan. Trafik hanyalah strategi tetapi bukan lagi kejayaan.

Keyword berikut adalah antara yang mendapat tempat di page pertama google untuk blog ini. Keyword untuk perkhidmatan yang aku sediakan adalah seperti jahit tepi halus, jahit tepi tudung, jahit tepi shawl, jahit tepi selendang, kelas menjahit tudung, cara menjahit tudung, tempahan menjahit tudung, belajar menjahit tudung, tempahan jahit tepi shawl dan banyak lagi yang berkaitan dengan jahit menjahit pakaian wanita. Pusing macam mana pun keyword  di atas sentiasa berada di muka pertama google buat masa ini.

Apabila pengunjung mencari keyword tersebut membawa mereka ke blog ini dan sudah tentunya mereka mencari perkhidmatan yang aku sediakan. Kalau tidak apakah tujuan mereka mengoogle keyword tersebut.

Itulah yang dikatakan trafik sasaran atau "targeted traffic" yang aku cari. Oleh sebab itu keyword lain seperti "artis popular 2014", "cara kuruskan badan", "gambar lucah" tidak relevan untuk blog ini tetapi mungkin relevan untuk blog yang lain. Jika ada juga yang datang melalui keyword tersebut ia akan menjadi trafik yang sia-sia.

Keyword dan trafik yang tinggi sahaja tidak mencukupi jika tidak berjaya menukar pengunjung menjadi pelanggan atau sekurang-kurang menjadi pengunjung setia yang akan membaca blog ini setiap hari. Perkara yang paling penting adalah apakah kesan kepada pengunjung tersebut apabila membaca blog ini. Apakah apa yang mereka cari boleh didapati dalam blog tersebut. Mesti ada conversion.

Dari sini pentingnya ilmu "copy writing" iaitu skil menulis kandungan blog untuk tujuan promosi sehingga membuat pengunjung tidak tidur lena,  mempengaruhi emosi pengunjung untuk mendapatkan servis atau produk yang disediakan.

Cuba fikirkan perkara berikut. Yang mana lebih baik untuk yang bermatlamat menjana pendapatan.

1. Blog yang mempunyai 1,000,0000 trafik sebulan menjana pendapatan RM2,000 sebulan
2. Blog yang mempunyai 100,000 trafik sebulan menjana pendapatan RM20,000 sebulan.

Tentunya blog 2 walaupun trafik kurang tetapi pendapatan bulanan lebih tinggi daripada blog 1.

Jadi bagi aku trafik yang menentukan kejayaan sesuatu blog adalah trafik yang datang dari "targeted traffic" yang boleh mencapai matlamat yang kita tetapkan. Trafik yang tinggi tetap penting dan merupakan satu bonus jika mendapatnya tetapi biarlah konsisten sepanjang masa dan bukan untuk tajuk tertentu sahaja. Trafik yang konsisten sepanjang masa juga merupakan antara matlamat untuk blog ini.

Blog sebagai medium untuk aku memperkenalkan servis yang aku lakukan. Biarlah trafik biasa-biasa sahaja tetapi merupakan trafik sasaran yang aku perlukan. Oleh sebab itu aku masih mengekalkan blog ini sebagai blog untuk niche jahit menjahit dan fesyen wanita tanpa mencampur aduk dengan berita-berita semasa yang lain.

Blog ini bukan untuk menjadikan aku popular dan bukan juga untuk mendapat pendapatan melalui pengiklanan.. Oleh sebab itu aku lebih suka jika trafik yang datang adalah 'targeted traffic".

Berikut adalah statistik blog ini untuk beberapa bulan yang aku ambil dari Google Analytics.

Bulan August 2014

Pageviews 100,222. Average sehari 3,330.
Bounce rate 1.75%

Bulan March 2014

Pageviews 98,574. Average sehari 3,200
Bounce rate 2.45%

Bulan December 2013

Pageviews 90,179. Average sehari 3,000.
Bounce rate 3.85%.

Bulan August 2013

Statistik untuk bulan pertama blog ini dilancarkan.

Pageviews 654. Average sehari 22.
Bounce rate 63.91%

Kalau melihat kepada statistik di atas, statistik blog ini menunjukkan trafik yang semakin bertambah bulan demi bulan. Walaupun tidak banyak tetapi sentiasa konsisten. Bounce rate juga rendah menunjukkan pengunjung membaca lebih dari satu page apabila datang ke blog ini. 

Aku patut berbangga dengan pencapaian blog ini.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018