Thursday 2 January 2014

Menjahit Boleh Mengurangkan Stress?

Menjahit Boleh Membantu Mengurangkan Stress.



Mengejutkan! Kajian klinikal oleh Home Sewing & Craft Association Amerika (HSA) mendedahkan bahawa wanita-wanita yang menjahit sama ada yang mahir atau yang baru mengalami penurunan yang significant pada kadar denyutan nadi, tekanan darah dan juga kadar perpeluhan berbanding wanita-wanita yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti masa lapang yang lain.

Kadar denyutan nadi, tekanan darah dan kadar perpeluhan adalah antara tiga faktor utama dalam pengukuran stress. Hasil Kajian yang didapati  menunjukkan bahawa menjahit boleh membantu wanita-wanita untuk merasa relax ketika memberi fokus kepada  aktiviti kreatif menjahit.

Memang seronok kerja sebagai tukang jahit. Goyang kaki boleh dapat duit. Tambahan pula kalau mesin jahit jenis manual. Lagi banyak perlu goyang kaki.

Membaca artikel di atas tentu berita mengembirakan bagi tukang jahit tetapi hakikatnya siapa yang tahu.
Bagi sesiapa yang tidak pernah menjadikan kerja menjahit sebagai suatu karier tentu tidak memahami keadaan sebenar bagaimana tukang jahit perlu mengalami pelbagai keadaan dan cabaran yang boleh menyebabkan stress ketika menghadapi pelbagai karenah pelanggan.

Kadang-kadang terasa sekali tekanannya sehingga terfikir tidak lagi mahu mengambil tempahan menjahit. Lebih baik menjahit untuk produk sendiri sahaja. Oleh kerana menjahit sudah menjadi darah daging perasaan itu perlu diketepikan dan menganggap itu adalah asam garam dalam mana-mana dunia bisnes sekalipun. Menjahit perlukan kesabaran dan keseronokan. InsyaAllah ianya akan menjadi suatu hobi dan bisnes yang menyeronokkan.

Ini berbeza jika menjahit sekadar mengisi masa lapang untuk keseronokan diri sendiri sahaja. Artikel di atas mungkin sesuai untuk menjahit sebegini di mana kreativit yang kita tumpahkan kepada menjahit menjadikan kita merasa tenang dan puas dan dapat mengurang stress.

Stress seperti disebut sebagai tekanan perasaan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, murung dan sebagainya adalah normal kepada manusia. Kita memang tidak boleh lari dari stress.

Stress mesti diurus supaya dapat merangsang kita lebih kreatif, berhati-hati dan menempa kejayaan dalam kerjaya dan hidup kita.

Stress yang gagal diurus akan menghasilkan perasaan seperi letih, pening, sakit badan, mudah lupa, hilag tumpuan, risau, bimbang, hilang sabar, sensitif sehinggakan kadang-kadang terbawa-terbawa ke dalam mimpi. Mimpi menjahit baju.

Sebagai tukang jahit, saya sendiri tidak boleh lari dari stress. Keadaan-keadaan yang boleh mendatangkan stress seperti:

  • Komplen dari pelanggan seperti baju ketat, baju besar, baju tak ikut saiz dan lain-lain.
  • Silap potong kain. Kalau dah silap potong hanya ada dua pilihan sahaja. bayar ganti rugi atau pergi ke kedai cari kain ganti. Memang stress macam mana nak beritahu pelanggan. Kalau nak ganti kain di mana pula nak cari ganti. Bukan semua kain mudah dicari. Ada sesetengah dibeli di Indonesia. Rasa macam nak menangis.
  • Bila sampai deadline perlu siapkan baju pelanggan tetapi belum juga siap. Kain pun belum potong. Keadaan lebih meruncingkan jika pelanggan perlukan baju itu pada masa itu juga. Tak boleh tangguh seperti pada Hari Raya. Boleh lari malam kalau macam ni.
  • Mesin rosak di kala kita memerlukannya untuk menjahit baju urgent. Memang berpeluh, marah dan macam-macam perasaan akan timbul. Nak panggil technician, tidak boleh datang pula pada masa itu. Pelanggan asyik call tanya bila baju boleh siap.
  • Baju rosak seperti kena gunting, koyak dan macam-macam lagi yang berlaku. Ada kala baju dah siap, tinggal nak seterika sahaja. Tiba-tiba semasa sedang seterika, baju pula terbakar kerana terlalu panas.

Bagaimana Saya Mengurangkan Stress?

Saya sentiasa cuba menjadikan kerjaya ini sesuatu yang menyeronokkan. Motivasi yang paling kuat adalah pendapatan dari hasil menjahit. Berbanding kerjaya yang lain, menjahit dengan bekerja sendiri dan di rumah pula, pendapatannya juga setanding dengan kerjaya yang lain.

Antara perkara-perkara yang sering saya lakukan adalah seperti:

  • Menjaga kesihatan. Sekarang saya mula makan suplemen yang mahal untuk menjaga kesihatan.
  • Menerima apa sahaja komplen pelanggan dengan hati terbuka dan cuba menyelesaikannya dengan secepat mungkin
  • Mengatakan tidak jika memang saya tidak tahu atau tidak mampu menjahit seperti fesyen yang diminta oleh pelanggan.
  • Cuba memberi tempoh lebih lama untuk menyiapkan tempahan. Jika tempahan yang mudah boleh lah siap cepat. Sekarang tempahan untuk hari raya ini dah ada yang booking. Mungkin terpaksa  tutup tempahan lebih awal pada kali ini.
  • Mempunyai technician yang mudah berurusan. Technician yang saya ada sekarang memang mudah untuk berurusan. Mudah datang bila dipanggil. Kadang-kadang datang untuk baiki yang mudah-mudah sahaja tidak dikenakan sebarang bayaran.
  • Sentiasa merasa gembira dengan aktiviti menjahit yang dilakukan. Merasa seronok dan bangga melihat hasil jahitan sendiri.
  • Mengubahsuai kedudukan mesin jahit. Sekejap ubah ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap di luar bilik. sekejap di ruang tamu. Kalau dah jemu, tukar lagi. Semuanya untuk menghasil suasana yang baru dan ceria.
  • Kecerahan bilik sentiasa dijaga supaya tidak sampai terlalu gelap sehingga menimbulkan mood yang tidak baik. Saya juga memasang lampu kecil pada kedudukan atas jarum mesin jahit supaya mendapat kecerahan yang mencukupi.




  • Kerusi mesin jahit yang sesuai, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Saya pernah guna kerusi yang mempunyai roda supaya senang bergerak dari satu mesin ke mesin yang lain. Akhirnya saya terpaksa tukar kerana benang masuk dalam roda sehingga roda tak berputar lagi.
  • Mengguna meja yang sesuai dengan lebar dan ketinggian yang sesuai. Dahulunya saya gunting di atas lantai terutamanya untuk gunting jubah kerana kainnya yang panjang tetapi sekarang saya dah ada meja memotong kain yang sesuai dan tak perlu lagi potong kain di atas lantai.
  • Jika merasa bosan menjahit saya berhenti sekejap, pergi memasak, tengok TV atau tidur sekejap. Untuk menghilang bosan saya juga ada radio kecil yang sentiasa menjadi teman semasa sunyi. Boleh juga sambil menjahit sambil melayan lagu-lagu retro.
  • Waktu lapang keluar jalan-jalan cari makan di sekitar Bangi. Kadang-kadang melakukan riadah di Tasik Cempaka sambil bermain badminton atau jogging.
  • Yang paling seronok apabila menerima duit dari pelanggan. Terus hilang stress terutama di saat amat-amat memerlukannya

Stress adalah dalam normal dalam kehidupan manusia. Jika kita pandai mengurus stress ia akan menjadi perangsang kepada kita untuk menempa kejayaan yang gemilang. Menyukai apa yang kita lakukan akan menjadi kita lebih kreatif. Minat dan kreativiti dapat mengurangkan stress. Menjahit adalah salah satu yang boleh mengurangkan stress seperti mana kajian di atas.

Tidak semestinya menjahit sahaja tetapi juga melakukan perkara-perkara lain dengan penuh minat dan kreatif seperti memasak, mengemas rumah, menyapu daun kering di halaman rumah, melukis, melipat baju dan lain-lain juga boleh mengurangkan stress.

Kalau minat menjahit dah ada bolehlah belajar menjahit untuk mengurangkan stress. Kelas menjahit tudung masih dibuka.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018