Wednesday 8 January 2014

Keselamatan Menjahit Di Rumah

Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk semasa melakukan aktiviti menjahit. Kita selalu dengar kata-kata seperti “ kemalangan tidak dapat dielakkan”, “malang tak berbau”  dan sebagainya.

Sebelum kita menerima sahaja kata-kata tersebut adakah kita tahu bahawa sebenarnya kemalangan boleh dielak jika kita mengambil langkah-langkah tertentu untuk mencegahnya. Jika semua langkah-langkah tersebut kita sudah ambil maka kita perlu bertawakal kepada Allah s.w.t supaya dijauhkan dari segala bencana.

Marilah kita tinggalkan mitos kata-kata di atas dengan mengambil langkah-langkah yang boleh mencegah kita daripada mendapat kemalangan.

Apa yang saya tulis di bawah untuk peringatan diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktiviti menjahit terutamanya di rumah.

Kita perlu mengetahui punca atau keadaan yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita sehingga boleh meyebabkan kecederaan.

Berikut adalah beberapa punca yang dikenalpasti yang boleh menyebabkan kemalangan kepada kita dan juga keluarga semasa menjahit di rumah.

Jarum 
Jarum dengan hujungnya yang tajam boleh menyebabkan boleh tercucuk kepada anggota badan kita. Antara jarum-jarum yang terlibat semasa menjahit.

  • Jarum pada mesin jahit -  jika tidak dipasang dengan betul boleh menyebabkan patah, terbang dan hinggap ke badan atau mata kita. Dengar sahaja pun  dah seram bulu roma apatah lagi kalau betul-betul berlaku. Sangat merbahaya. Oleh itu pastikan jarum dipasang dengan betul dan jarum mestilah dengan saiz yang betul. Jangan lupa juga pelindung dipasang untuk mengelak jarum yang patah terbang keluar. Jauhkan jari pada jarum semasa menjahit.
  • Jarum peniti –  boleh tercucuk pada jari atau boleh terpijak jika dibiar bersepah di atas meja atau lantai. Saya sendiri dah beberapa kali tercucuk jarum pada jari dan terpijak jarum peniti ini. Apa yang saya praktiskan dengan meletakkan jarum-jarum ini di atas span selepas  menggunakannya. Jika terjatuh ke lantai cepat-cepat kutip dan simpan ditempatnya.
  • Jarum untuk menjahit secara manual terutamanya semasa menjahit sembat atau untuk kemasan pada leher baju seperti jahit mata lalat, tulang belut dan sebagainya. Boleh tercucuk terutamanya pada jari jika kita lalai. Lalai disebabkan ketika menjahit kita tidak memberi perhatian atau fokus pada jahitan kita seperti melihat ke tempat lain. Boleh juga tercucuk ke jari ketika mengantuk atau mata kita melihat TV dan sebagainya. Langkah terbaik kalau dah penat berehatlah dahulu. Jangan paksa diri.

Jarum ini juga merbahaya kepada anak-anak kita terutamanya yang masih kecil. Jarum yang terjatuh ke lantai boleh menyebabkan anak  terpijak. Jika anak kecil masih merangkak boleh menyebabkan tangan dan anggota badannya tercucuk dengan jarum. Jika jarum dibiar berselerak di atas meja pula, anak-anak kecil kita boleh mencapainya. Saya juga biasa mendengar kisah anak-anak yang tertelan jarum. Anak yang kecil biasanya apa yang dicapai akan dimasukkan ke dalam mulut.

Lagi satu jangan memegang jarum dengan mulut. Nanti tertelan atau mungkin jarum itu sendiri sudah tercemar.

Untuk mengelak kemalangan sentiasa kemaskan tempat kerja dan awasi anak-anak kita semasa mereka menghampiri tempat menjahit.

Gunting
Ketajaman gunting boleh mencederakan kita malahan lebih serius berbanding jarum. Gunting boleh menjadi bahaya jika kita tak berhati-hati sehingga menyebabkan kita tergunting tangan sendiri.

  • Gunting sangat merbahaya jika kita meninggalkannya di atas lipatan kain di mana tanpa sedar kita boleh terpegang bahagian tajam gunting tersebut semasa hendak mengambil kain. Inilah bahayanya gunting dalam lipatan boleh mencederakan kita dan juga merosakkkan kain. Yang paling bahaya jika kita terduduk di atas lipatan kain tadi di mana di dalamnya terdapat gunting yang tersembunyi.
  • Gunting juga boleh menjadi bahaya jika kita meletakkannya di atas tempat duduk seperti di atas kusyen dan sebagainya. Oleh kerana sibuk kita mungkin melupainya dan tanpa kita sedar kita terduduk di atas gunting tersebut atau pun boleh berlaku kepada anak-anak kita. Mungkin semasa bermain-main anak-anak terlompat ke atas gunting tersebut. 


Oleh itu pastikan gunting disimpan dengan baik selepas menggunakannya. Jangan biarkan tertinggal di dalam lipatan kain atau tempat duduk. Sangat merbahaya.

Belt Mesin
Belt pada mesin ada yang tertutup ada yang tidak. Belt yang berputar amat merbahaya kerana ia boleh menarik jari kita, rambut, kain yang berjuntai dan lain-lain.  Jangan biarkan anak-anak kita merapati bahagian tersebut. Nanti dimasuknya jari akan tertarik masuk kedalam belt tersebut. Awasi anak-anak kita ketika menjahit. Kalau ada penutup, perlulah tutup. Jangan biarkan terbuka.


Bahagian Mesin Yang Bergerak
Bahagian ini juga perlu diawasi, jangan sampai anggota kita tersentuh. Begitu juga jangan biarkan anak-anak kita merapati kita semasa menjahit.

Arus Eletrik 
Punca arus elektrik boleh datang dari kabel elektrik atau plug yang kita sambungkan ke soket rumah kita. Selalunya arus boleh mengalir ke dalam badan kita jika kita tersentuh dengan kabel atau plug yang rosak.

Pastikan kabel, plug dan soket kita dalam keadaan baik.  Berhati-hati dengan arus elektrik ini. Saya sendiri ada pengalaman tersentuh dengan current pada tangan. Lenguh sampai seminggu.

Kalau kita tidak menggunakan mesin tersebut jangan lupa untuk ‘OFF’.

Benang  Berat Di Pinggir Meja
Saya sendiri pernah ditimpa benang yang berat ke atas ibu jari. Sakit jangan cakaplah. Tiga hari baru pulih. Kalau terjatuh menimpa kaki kita, barulah kita tahu betapa sakitnya sehingga terduduk menahan kesakitan.

Jauhkan benang yang  berat ini di pinggir meja. Simpan di tempat yang sesuai.


Lantai Licin
Lantai licin boleh berlakunya kerana minyak mesin jahit tertumpah ke lantai. Jika kita tidak membersihnya mungkin kita  akan tergelincir. Jika minyak dah tumpah ke lantai, cepat-cepat lap. Jangan bertangguh.

Body Mesin Boleh Terjatuh Ketika Mengangkat
Pernah berlaku kepada technician yang saya panggil di rumah di Sungai Petani dahulu. Semasa technician itu mengangkat keluar body mesin tiba-tiba terjatuh kerana licin kerana body mesin yang berminyak. Kalau nak angkat perlu lap dahulu mesin atau angkat mengguna kain. Jangan nak tunjuk gagah.

Ruang Berongga Pada Mesin
Jangan pandai-pandai masukkan jari, screw driver dan lain-lain pada mana-mana lubang pada mesin. Biasanya dilakukan oleh anak-anak yang kecil. Nanti jari luka terkena benda tajam, pisau dan sebagainya atau mesin terus rosak. Tak pasal-pasal nak kena keluarkan duit untuk repair. Anak saya sendiri dah beberapa kali mematah penetas benang kerana memasukkan ke dalam lubang pada mesin.  Awasi anak-anak dan kemaskan kawasan mesin selepas menjahit.

Mesin Yang Tidak Sesuai Untuk Jahitan Atau Fabrik Tertentu
Ada mesin yang tidak sesuai untuk jahitan atau fabrik  tertentu. Jangan cuba-cuba untuk menjahit jika mesin itu tidak sesuai untuk jahitan tertentu. Contohnya seperti kain yang tebal. Nanti boleh patah jarum dan merosakkan mesin. Gunakan mesin yang sesuai.

Benang-Benang Yang Berselerak
Jika berselerak di atas lantai kita boleh tergelincir kerana terpijak bobbin benang. Kalau ada kucing di rumah perlu jaga-jaga juga kerana kucing suka bermain dengan benang-benang ini.  Di rumah saya sendiri ada seekor kucing yang entah dari mana datang yang menjadi mainan anak-anak. Ikut hati macam nak buang sahaja kucing tersebut. Betul ker bela kucing murah rezeki?

Saya sendiri mempunyai rak khas untuk menyimpan benang.

Seterika Yang Panas
Ini juga punca kemalangan. Seterika yang panas boleh tersentuh pada tangan dan lain-lain anggota badan. Akibatnya boleh melecup. Kain juga boleh terbakar. Oleh itu sentiasa berhata-hati dan mesti tahu macam mana nak setting pada seterika. Jangan lupa OFF elektrik selepas menggunakannya.

Itu sahaja yang terlintas di ingatan saya buat masa ini.  Mungkin ada banyak lagi punca yang boleh menyebabkan kemalangan. Jangan pula merasa takut untuk menjahit selepas membaca artikel ini. Sekadar peringatan untuk sama-sama kita mengambil langkah-langkah yang perlu.  Menjahit tetap menyeronokkan.

Untuk entri yang lain saya akan  tulis pula berkaitan kesihatan pekerjaan semasa menjahit. InsyaAllah kalau berkesempatan.

Keletihan juga boleh menyumbang kepada kemalangan. Berhenti menjahit dan rehat dahulu.  Besok boleh sambung kerja balik.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018