Thursday 9 January 2014

Jahit Kebaya & Kebarung

kebaya

kebarung

Saya jarang menerima tempahan menjahit baju kebaya dan juga kebarung sejak berpindah ke Bangi ini. Tidak banyak permintaan. Tidak seperti semasa saya berada di Sungai Petani dahulu ada sahaja baju kebaya dan kebarung dihantar untuk dijahit.

Kebanyakan pelanggan saya di sekitar Bangi ini lebih suka menghantar baju kurung moden atau jubah sahaja. Mungkin trend sekarang fesyen baju kurung moden lebih sesuai dan diminati berbanding kebaya. Lagi pun fesyen baju kebaya yang fit dengan badan lebih nampak sexy berbanding baju kurung moden. Mungkin sebab itu tak begitu sesuai bagi sesetengah orang. Sebab itulah pilihan yang sesuai adalah baju kurung moden atau  fesyen kebarung sahaja yang boleh menggantikan kebaya.

Kebaya adalah pakaian tradisional wanita melayu dan juga Indonesia yang sudah lama wujud. Mengikut sejarah kebaya dikatakan berasal dari Negara Arab yang di bawa ke Tanah Melayu dan Indonesia sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi.

Baju kebaya menjadi antara kesukaan wanita melayu terutama pada tahun 60an dahulu. Kita boleh lihat dalam filem-filem melayu lama, ramai pelakon wanitanya memakai baju kebaya yang menunjukkan baju ini begitu popular pada masa dahulu. Sekarang baju kebaya bukan sahaja dipakai oleh wanita melayu tetapi semua bangsa boleh dilihat memakai baju kebaya.

Biasanya baju kebaya dijahit mengikut saiz badan pemakai kerana pemakai lebih suka bajunya fit pada body supaya nampak lebih ramping seperti semut. Tentunya untuk menjahit kebaya ukuran yang tepat perlu diambil. 

Kebarung pula adalah kombinasi baju kebaya dan baju kurung. Kebarung berbentuk seperti kebaya tetapi mempunyai saiz seperti baju kurung. Oleh kerana baju kebaya ini mengikut bentuk badan yang kelihatan lebih sexy maka tidak begitu sesuai kepada mereka yang bersaiz besar. Jika mereka ingin berfesyen seperti kebaya juga  tetapi dalam bentuk yang lebih longgar lebih sesuai memilih baju  kebarung. 

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya nyonya. Dinamakan kebaya nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018