Monday 4 November 2013

Jubah Kaftan

jubah kaftan


jubah kaftan


Kaftan atau dikenali juga sebagai baju kelawar bukanlah asing terutamanya untuk wanita yang biasanya memakainya sebagai baju tidur. Kali ini saya menerima tempahan menjahit jubah kaftan untuk pelanggan saya dari Putrajaya. Lihat hasil jahitan di atas. Jubah kaftan ini tanpa inner.

Kaftan memang menjadi pilihan wanita kerana tidak panas, longgar,selesa dan rasa berangin terutama dipakai bersama keluarga di rumah di waktu malam. Potongannya juga ringkas dan mudah. Kaftan juga sesuai dipakai oleh semua jenis bentuk badan sama ada yang bertubuh berisi atau langsing.

Fesyen kaftan juga sentiasa berubah mengikut peredaran fesyen dan mendapat tempat di hati wanita apabila diberi sentuhan moden dengan tambahan bermacam-macam perincian di atasnya seperti manik dan lain-lain.
Imej kaftan atau baju 'kelawar' sebagai baju untuk besantai di rumah sekarang diganti dengan fesyen kaftan terkini yang dipakai di majlis-majlis seperti majlis akad nikah, majlis makan malam dan lain-lain.

Saya sertakan artikel dan tip menarik mengenai kaftan yang saya ambil dari Harian Metro untuk pembaca Nash Fesyen.

Artikel ini saya ambil dari link berikut.
http://www.hmetro.com.my/articles/Anggunlangsingmenggoda/Article

Anggun langsing menggoda
Oleh Siti Zarinah Sahib

DULU apabila menyebut mengenai kaftan, ramai membayangkan sepasang baju tidur berpotongan kelawar daripada fabrik batik atau sutera. Namun seiring perkembangan fesyen, kaftan melalui pelbagai evolusi baru dan ditampilkan dalam sentuhan kontemporari yang memikat bermula daripada segi potongan, penggunaan fabrik serta perincian manik sehingga memperlihatkan gaya anggun si pemakai.
Lebih istimewa kaftan kini diangkat sebagai persalinan eksklusif untuk majlis formal terutama bagi wanita yang ingin tampil sopan dan anggun.

Tidak kira sama ada untuk wanita bertudung atau tidak, fesyen kaftan memenuhi kriteria penampilan elegan lagi bergaya. Apatah lagi jika fabrik digunakan daripada jenis mewah dan berkualiti tinggi seperti sifon atau sutera sifon yang lembut dan beralun cantik.

Apa yang lebih menarik, kini kebanyakan pereka semakin kreatif dan bijak mengadunkan rekaan dalam gaya kaftan supaya ia terus menjadi pujaan ramai terutama peminat fesyen.

LEMBUT...pemilihan rona lembut dan polos ditambah perincian manik membuatkan kaftan lebih menarik.

FORMAL...kaftan tidak lagi dianggap pakaian di rumah, kini untuk majlis formal.

MEWAH...perincian manik dan jemeki menambah gaya eksklusif dan mewah.

ANGGUN...kaftan daripada fabrik sifon beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Bagi wanita, rekaan yang sederhana dengan sedikit perincian manik mampu menjadikan penampilan seseorang itu sempurna.

Menurut pemilik Kelrina House of Fashion yang hanya mahu dikenali sebagai Kelrina, busana kaftan dulu adalah baju panjang berpotongan longgar, mempunyai sisi lurus, berlengan panjang dan belahan pada bahagian tengah.

Tetapi kini perubahan fesyen semasa menyebabkan pereka semakin kreatif dalam menghasilkan rekaan. Maka lahirlah kaftan berlengan panjang dengan perincian manik mewah pada bahagian leher dan dada. Ada juga yang menampilkan kaftan berpotongan gaun dengan sisi kembang.

“Walau apa juga bentuk potongan, konsep digunakan tetap sama iaitu menampilkan sisi anggun si pemakai yang langsing dan menggoda. Tambah pula bagi wanita bertubuh lampai, sudah pasti pemakaian akan menyerlahkan peribadi mereka,” katanya.

Jika diambil kira sejarah pemakaian kaftan, ia boleh dianggap antara koleksi fesyen sepanjang zaman kerana himpunan ini sesuai untuk semua bentuk tubuh.

Tetapi si pemakainya hendaklah berhati-hati terutama daripada segi pemilihan rona dan corak.
Kaftan juga boleh dipelbagai kemunculannya andai kreativiti dimiliki tinggi.
Mengambil gaya potongan kaftan tetapi diberi pengubahsuaian pada bahagian lengan dan tangan, ia nampak moden serta bergaya.
“Bagi wanita berbadan gempal, mereka seharusnya bijak memilih rona sesuai.

Elakkan warna cerah atau bercorak sebaliknya pilih warna gelap seperti hitam dan coklat bagi melindungi kekurangan tubuh,” katanya yang sudah 14 tahun berpengalaman dalam menghasilkan rekaan baju siap serta pengantin.

Tambah Kelrina, di pasaran terdapat pelbagai jenis kaftan daripada fabrik berbeza. Misalnya sifon, kapas, lycra, jersi, linen, sutera dan satin.

Namun sifon adalah fabrik paling tepat sebagai penyelamat kepada penampilan kerana dengan mutu fabrik yang terpelihara dan indah, ia menjadikan wanita tampil anggun lantaran fabrik ini terkenal dengan kelembutan sekali gus menyerlahkan keistimewaan derap langkah wanita.

Bagi wanita bertudung, rekaan kaftan sangat sesuai dengan penampilan Muslimah kerana potongannya menutupi hampir semua bahagian tubuh. Namun mereka digalakkan memilih daripada fabrik sifon bukannya lycra kerana lycra membuatkan busana mengikut bentuk tubuh wanita dan kelihatan seksi.

Kelrina juga tidak gemar menggunakan fabrik bercorak pada kaftan sebaiknya memilih rona polos ditambah perincian manik, batu permata serta jemeki supaya lebih eksklusif dan mewah.
“Perincian manik dan jemeki pada bahagian leher dan dada diakui menyumbang ke
pada kesempurnaan penampilan kerana menjadikan wanita tampak ramping dengan persalinan sedemikian,” katanya.

Dengan beberapa kelebihan dalam rekaan kaftan, hakikatnya busana ini tidak lagi sesuai dipakai di rumah sebaliknya mempunyai kelebihan untuk dikembangkan menjadi persalinan kontemporari mewah. Perbezaan hanya pada fabrik, potongan serta perincian manik digunakan.

Namun fabrik yang lembut, berat dan bersifat sejuk sesuai dijadikan persalinan labuh. Seandainya bijak memilik fabrik untuk dijadikan persalinan, anda akan berasa selesa sepanjang hari.

Kaftan dulu dan sekarang

Fakta:
  • Kaftan pada awalnya adalah jaket labuh dengan lengan panjang dan dipakai lelaki. Biasanya memiliki butang pada bahagian depan diperbuat daripada fabrik bulu, sutera dan sering dipakai bersama selempang.
  • Kaftan berasal dari negara Timur Tengah dengan ciri khas gaun labuh dengan terdapat kain berlebih pada lengan hingga membentuk formasi seperti sayap dan hiasan berpusat pada bahagian dada.
  • Kaftan berasal dari negara Timur Tengah dengan ciri khas gaun labuh dengan terdapat kain berlebih pada lengan hingga membentuk formasi seperti sayap dan hiasan berpusat pada bahagian dada.
  • Kaftan pernah menjadi pakaian istana ketika zaman pemerintahan Kesultanan Othman di Istanbul sehingga menjadi hadiah paling berharga ketika perayaan. Malah terdapat perbezaan daripada segi warna, butang, potongan mengikut pangkat dan status seseorang.
  • Di Istanbul, kaftan hanya dipakai wanita, ini berbeza dengan Turki kerana kaftan turut dipakai lelaki. Biasanya ia dipakai untuk acara makan malam, mandi bayi, pertunangan dan pernikahan.
  • Di Asia Tenggara, kaftan batik dihasilkan untuk memberikan rasa ringan dan dingin daripada panas matahari. Motif bunga dan abstrak sangat mempengaruhi potongan kaftan ketika itu.
  • Di Afrika Barat, kaftan adalah jubah labuh yang dipakai lelaki dan wanita. Ia dipanggil kaftan boubou dan senegalese.
  • Di Russia, kaftan dikenali sebagai pakaian labuh dan longgar dengan lengan yang ketat. Pada abad ke-19, kaftan Russia adalah jenis pakaian luar yang paling ­banyak dipakai di kalangan petani dan ­pedagang. Pada masa itu, mereka memakai kaftan untuk upacara keagamaan. Kaftan sutera Russia pula dipakai bersama seluar biru bergaris, but, selempang sutera dan topi berbulu.

1 comment:

Artie said...

PKP 2020 Artie lihat baju kaftan sales naik gila². Dari design printed mahupun plain, letak manik² pun sudah jadi trend sebagai hiasan pula.. thanks share yea..

Galeri Artie
^^^^^^^^^^^

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018